Lazimnya orang kita takut bayi lemas apabila masuk ke kolam air, sedangkan masyarakat luar sana banyak yang ‘melepaskan’  bayi ke kolam renang, agar mereka boleh belajar berenang secara semula jadi. Namun jangan dibiarkan anak itu pula. Mengajar bayi berenang ada caranya.

 

Ini bukan perkara baru. Sudah beberapa kali kami nampak ada ibu-bapa yang melepaskan anak mereka yang masih bayi tanpa sebarang pelampung ke dalam kolam air untuk beberapa saat. Mungkin kita ingat tujuannya untuk mengajar berenang, tetapi sebenarnya ia lebih banyak manfaat dari itu.

 

Ikut logiknya, bayi atau kanak-kanak yang didedahkan dengan latihan renang adalah lebih mudah diajar kerana semasa dalam kandungan lagi mereka telah hidup dalam air (ketuban).  Belajar berenang juga dapat mempertingkatkan tahap keseimbangan mereka serta menguatkan otot-otot tulang. Didikan ini memang agak luar biasa jika di Malaysia, tetapi sudah ramai ibu bapa yang mempraktikkannya di beberapa negara lain.

 

Melalui aktiviti ini juga boleh membantu dalam meningkatkan sistem kognitif. Apabila berenang, kanak-kanak perlu menggerakkan beberapa anggota badan atau sistem pernafasan dalam satu masa. Sebagai contoh, kita perlu menggerakkan tangan dan kaki kita untuk membolehkan kita bergerak ketika berenang. 

 

Selain itu, kajian yang dilakukan oleh Prof. Robyn Jorgensen di Institut Kajian Pendidikan Griffith pula mendapati bahawa kanak-kanak yang belajar berenang memiliki kemampuan visual motorik seperti mana memotong kertas, mewarna, melukis, dan menyelesaikan masalah matematik dengan lebih pantas dan cergas.  Malah kalau pembaca semua nak tahu, cara didikan sebegini juga digalakkan di dalam Islam.

 

Dari Amirul Mukminin, Umar al-Faruq ibn al –Khattab, Rasulullah SAW bersabda:

“Ajarilah anak-anak kalian berkuda, berenang dan memanah” (Riwayat Sahih Bukhari /Muslim)

 

Jadi ibu bapa seharusnya tidak berasa takut untuk mengajar anak-anak mereka berenang kerana aktiviti ini ternyata selamat dan menyihatkan badan. Tapi harus diingat, bagi ibu bapa yang kurang mahir dalam hal ini, anda haruslah belajar dahulu sebelum mengajar si kecil kesayangan anda.

 

Sedang kami buat artikel ini, terjumpa pula video angkasawan negara, Dato’ Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang sedang mengajar anaknya berenang. Saja ingin dikongsi bersama pembaca semua.

 

Sumber diperoleh dari Youtube Kdz Beckham.