Larikan diri anda. Kenapa, di mana dan untuk apa? Semuanya untuk kebaikan diri anda. Tidak perlu pergi jauh dan ikut bajet yang ada. Jangan bebankan diri mengikut gaya percutian orang lain. Ikut kemampuan diri dan yang penting matlamat percutian untuk membebaskan diri daripada tekanan dan stres tercapai.

Pulang daripada bercuti, anda lebih bersemangat dan mood bekerja meningkat dan apa yang ingin dicapai terlaksana. Namun sebelum bercuti, perancangan rapi perlu dilakukan agar semuanya berjalan lancar dan tiada masalah berbangkit sekembali anda daripada bercuti.

 

Percutian tanpa mengikut apa yang dirancang boleh menyebabkan kita terpaksa menanggung hutang selepas pulang bercuti dan akhirnya secara tidak langsung mengganggu perjalanan kewangan harian anda.

1.      Langkah pertama yang boleh dilakukan ialah dengan membuat senarai apa yang perlu dilakukan dan anggaran perbelanjaan sebelum pergi bercuti. Ini termasuk penginapan, makan, minum,pengangkutan dan bayaran lain seperti tol dan cenderahati.

2.      Layari internet atau membaca iklan di akhbar untuk mengetahui lebih lanjut keistimewaan tempat yang bakal dikunjungi untuk mendapat idea sebelum tiba di tempat itu.

3.      Memastikan kenderaan yang bakal digunakan berada dalam keadaan baik bagi yang memandu dengan menghantar ke pusat servis terlebih dahulu. Ini kerana jika berlaku kejadian yang tidak diingini, bajet anda akan melebihi jangkaan.

4.      Sekiranya menggunakan penerbangan, buatlah tempahan lebih awal dan paling penting beli tiket ketika tawaran harga murah. Kadang kala membeli secara online harganya lebih murah dan dapat mengurangkan bajet percutian.

5.      Selain itu, buatlah tempahan penginapan seperti hotel lebih awal. Layari internet untuk mendapatkan kedudukan hotel dan kemudahan disediakan selain harga yang berpatutan. Tempahan boleh dibuat menerusi internet atau telefon ke hotel berkenaan. Jika dibuat pada saat akhir, harganya pasti lebih tinggi.

6.      Tidak sah bercuti tanpa cenderahati. Jadilah pembeli yang bijak terutama dalam memilih barangan yang ingin dibeli agar tidak terbeli cenderahati yang ada di tempat tinggal anda.

7.      Jadilah pengguna yang bijak dan pelancong yang berhemah dalam merancang percutian supaya tidak terlebih bajet. Ini boleh menyebabkan mood selepas bercuti terganggu kerana gangguan kewangan percutian.

8.      Ingat tiada percutian yang sempurna. Tentu ada kekurangan, jadi bersedialah menghadapinya. Hakikatnya percutian yang menyeronokkan tidak terikat dengan masa, tempat dan wang asalkan anda gembira.

9.      Bawa barang yang perlu sahaja terutamanya pakaian bimbang terlebih muatan dan banyak beg yang perlu dibawa.

10.  Tinggalkan barangan yang tidak perlu seperti peralatan kecantikan, perhiasan berharga dan pakaian yang tidak dipakai.

11.  Kawal emosi anda. Jangan terlalu mengharap kesempurnaan dan layanan istimewa daripada orang lain. Ingat orang lain juga punya emosi. Jadi jangan membazir wang jika percutian anda tidak menyeronokkan hanya kerana anda tidak puas hati dengan perkara remeh.

12.  Jangan mengharap lebih daripada apa yang anda dibayar. Seimbangkan nilai wang anda dengan tempat yang dikunjungi agar matlamat percutian tercapai. Jangan terlalu teruja dengan pakej percutian yang terlalu murah. Selidik dahulu apa yang ditawarkan agar apa yang anda harapkan terlaksana.

13.  Elak tekanan ketika melancong. Tujuan bercuti adalah untuk menghilangkan tekanan dan bebanan. Jadi rancang percutian anda dengan teliti agar ia tidak menjadikan percutian yang menyesakkan terutama sekali dari segi kewangan. Pastikan wang yang diperuntukkan mencukupi.

14.  Jangan ragu-ragu untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan jika anda pasti dengan agensi berkenaan dan tawaran harga yang berpatutan. Percutian bersama teman-teman sering kali membuatkan anda tertekan. Oleh kerana itu, rancang sahaja percutian bersama agensi agar semuanya terancang untuk semua orang.

15.  Sekiranya menggunakan khidmat agensi pelancongan, periksa jadual perjalanan dengan terperinci termasuk masa, wang, tempat menginap dan tempat-tempat yang akan dikunjungi. Pastikan jadualnya secara lengkap. Jika melancong sendiri, buat jadual perjalanan kerana ia akan memudahkan anda.

16.  Sekiranya ingin bercuti ke luar Negara, pastikan semua dokumen perjalanan disiapkan sepenuhnya. Ia bagi mengelakkan sebarang masalah yang akan membuat anda tertekan.

17.  Kemas barang secukupnya. Pastikan anda membawa pakaian yang selesa dan sesuai dengan cuaca tempat yang ingin dituju. Ini juga mengelakkan anda membawa barang berlebihan atau berkurangan.

18.  Jangan abaikan info. Walaupun perancangan teliti sudah dilakukan tetapi pasti ada yang anda terlepas pandang atau berlaku perkara yang di luar jangkaan.Lebih-lebih lagi jika bercuti di luar Negara yang sukar untuk mendapatkan barangan halal. Selain itu bahasa juga menjadi masalah. Berikutan itu dapatkan maklumat yang diperlukan bagi memudahkan anda. Baca akhbar, majalah atau tonton televisyen agar anda tahu situasi semasa di negara berkenaan. nur