Lenggok kata yang lemah lembut dan sikap rendah diri apabila meluahkan setiap butir kata menjadikan calon keenam Pencarian Ikon Nur ini pilihan yang tepat. Berpendidikan tinggi tetapi masih mengekalkan budaya bahasa ibunda dan kesopanan seorang Muslimah  merupakan ciri-ciri wanita pilihan yang dicari-cari selama ini. Empunya diri, doktor Tengku Ezulia binti Tengku Nun Ahmad @ Tengku Azlan Ismara atau lebih manis dengan panggilan Lea ini berkongsi diari ringkas kehidupannya.

COVER STORY: Tengku Ezulia, Fokus Pada Masa Depan

Wanita ayu dan tampak manis ini merupakan seorang Doktor Perubatan ENT di KPJ Healthcare Shah Alam, Selangor. Karier doktor memerlukan dirinya untuk fokus dan memberikan sepenuh masa terutama jika dipanggil secara tiba-tiba. Perkara kecemasan kerap kali berlaku tanpa diduga maka Lea perlu bersedia. Dia sentiasa memastikan pembahagian masa dilunaskan sebaiknya.

 CERMINAN MUSLIMAH: Do & Don’t Ke Pejabat

Kini Muslimah ramai yang bekerja dan tidak kurang juga yang bekerja sendiri. Melihat pada penampilan setiap hari apabila hendak keluar bekerja, pasti setiap jiwa sedang berbicara apakah pakaian yang sesuai dengan kerjaya yang dilakukan dan betulkah pakaian yang ditampilkan? Bersama Perunding Imej Positive Grooming Sdn Bhd, Yasmin Siddik akan mengulas mengenai isu ini.

TUTORIAL SANTUN: Manual Gaya Selendang Lebar

Membuka tirai 2015, selendang lebar antara yang paling laris. Melalui saiz yang lebih besar, lebar dan panjang, ternyata tudung nan satu ini lebih senang untuk digayakan. Manakala fabrik satin dan kapas dengan sentuhan kilauan menjadi tumpuan utama. Cukup dengan hanya satu selendang sahaja, anda sudah boleh mempelbagaikan gaya.  

SOROTAN UTAMA: Dana Istimewa Buat Usahawan

Sepanjang hampir 60 tahun merdeka. Kerajaan telah merencana pelbagai agenda untuk pembangunan ekonomi Malaysia terutama dana istimewa khas untuk para usahawan Bumiputera dan juga bangsa lain. Hakikatnya, ramai usahawan wanita yang tidak sedar tentang kewujudan bantuan kewangan ini hinggalah ia diberikan kepada pihak lain. Ayuh singkap perkongsian ilmu perniagaan oleh Setiausaha Syarikat dan Perunding Korporat di Rass Kenis Consult, Marina Muhammad Kenis.

MUSLIMAH BESTARI: Iktikad Jadi Penghuni Syurga

Melangkah ke tahun baru, anda semua sudah mula mencari azam dan impian untuk dicapai sepanjang tahun. Antaranya, ingin memiliki kerjaya hebat, kereta mewah, membuka perniagaan sendiri, melancong ke luar negara dan juga memiliki rumah yang besar. Hebat! Tetapi pernahkah anda berazam untuk berubah menjadi insan yang lebih baik? Mari muhasabah diri dengan membaca artikel ini.

Antara kandungan lain yang ada dimuatkan di dalam majalah NUR edisi Januari 2015 adalah Hubungan Intim Celana Dan Wanita, Solusi & Energi Detoks, Sentuhan Jemari Hijab Stailista, Bijak Kendali Belanjawan Keluarga, Bebaskan Diri Dari Kesulitan dan banyak lagi. Jangan lupa juga sertai peraduan dengan memenangi hadiah menarik seperti 30 helai tudung daripada Adni Contemporary dan Produk Nawal Herbal Beauty bernilai RM2500. nur