Sebagai ketua, pernahkah anda berhadapan dengan pekerja bermasalah yang mengganggu perjalanan tugasan anda di pejabat? Cuba anda lihat situasi ini. Adakah ia menggambarkan diri anda sebagai ketua?

 

1.      Salah seorang pekerja anda secara konsisten datang lewat, tetapi justifikasi yang diberi oleh anda ialah “ Alaa…hanya hal kecil sahaja” walaupun hakikatnya ia menjejaskan kerja.

 

2.      Anda mempunyai pekerja yang menolak membuat tugasan dengan alasan ia bukan tanggungjawabnya. Tetapi disebabkan dia adalah pekerja yang baik anda tidak mahu menegurnya.

 

3.      Staf anda banyak membazir masa ketika waktu rehat dan suka bergosip hingga melewati waktu. Ia berlaku hampir setiap hari dan banyak kerja yang diserahkan tidak siap. Tetapi anda memilih untuk tidak menangani masalah ini.

 

4.      Anda menerima aduan oleh seorang staf yang tidak selesa dengan perangai seorang rakan sekerjanya yang suka mengkritik hal peribadi orang lain tetapi anda memilih untuk tidak menyiasat malah anda memaklumkan kepada staf yang mengadu selagi tiada aduan daripada orang yang dikritik belajarlah menerima kritikan dan komen daripada staf tersebut.

 

5.      Semua pekerja anda bekerja keras dengan prestasi yang memuaskan kecuali SEORANG pekerja yang bekerja separuh hati dan tidak serajin staf anda yang lain. Sebaliknya anda bukan menanganinya tetapi menyerahkan tugasan yang sepatutnya dilakukannya olehnya kepada staf lain pula. 

     

Tugas mengurus pekerja atau staf sememangnya cukup mencabar walaupun jika anda tidak berhadapan dengan pekerja bermasalah. Mengambil tindakan apabila berlakunya hal seperti di atas sebenarnya adalah sebahagian daripada tanggungjawab anda sebagai ketua untuk membimbing mereka.

 

Mengelakkan daripada menangani masalah dalam situasi di atas boleh menimbulkan suasana yang tidak sihat di tempat kerja anda kerana :     

1.      Boleh menimbulkan rasa sebal dan benci di kalangan pekerja anda yang mungkin menganggap anda bersikap pilih kasih.

2.      Hilang rasa hormat dan kredibiliti anda di kacamata pekerja dan pengurus anda.

3.      Banyak masa terbuang mendengar komplen pekerja yang boleh menjejaskan produktiviti pekerja lain.

4.      Kehilangan pekerja kerana lama kelamaan mereka akan merasa bosan bekerja di bawah organisasi yang lemah kepimpinannya.

5.      Kos tambahan terhadap operasi syarikat kerana kerja tidak dibuat.

6.      Menjejaskan kebolehan memimpin dan mengurus pekerja.

 

Justeru, segeralah bertindak. Buat keputusan sekarang jika anda mahu mencipta suasana pekerjaan yang bukan sahaja produktif tetapi juga kesemua pekerja memahami apa yang diharapkan daripada mereka. Lebih penting, staf anda dapat  bekerja dengan hati yang tenang dan gembira. nur