Bulan lepas, penulis bertemu dengan kakak saudara yang bertaraf pendidikan Ijazah Sarjana (Master). Apa yang mengejutkan penulis, dia tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Namun, dia menjalankan perniagaan bakeri di rumah. Betapa tekad dan kesungguhannya membuktikan wanita yang bekerja dari rumah juga mampu menjana pendapatan yang tinggi.

Jika anda juga memiliki impian seperti itu, NUR menasihati anda agar jelas dengan tindakan nekad anda untuk berhenti kerja dan bekerja sendiri. Anda perlu mempunyai matlamat jangka panjang yang tersusun supaya apa yang dirancang memberi impak positif.

                                                                                 

Rancang Betul-Betul

Kini anda sudah membuat keputusan untuk membina bisnes sendiri dan tidak mahu lagi bekerja ‘makan gaji’. Antara kelebihan yang anda peroleh terutamanya dapat lebih fokus kepada keluarga. Singkap panduan dalam pelan perancangan bisnes anda:

 

1-Penjelasan lengkap tentang bisnes

Setiap bisnes yang ingin anda lakukan perlu ada profil yang lengkap dari segi misi, visi, jenis bisnes, produk dan keunikan berbanding bisnes lain yang ada dalam pasaran.

2-Pelan Pemasaran

Pelan ini membantu anda mengenal pasti siapa sasaran pelanggan dan rancangan pemasaran untuk menarik minat pelanggan yang disasarkan.

3-Persaingan

Anda juga perlu menganalisis siapa pesaing bisnes anda bagi memudahkan anda mengkaji kelemahan pesaing dan menonjolkan keistimewaan anda. Dalam menawan hati pelanggan, anda perlu memberikan perkhidmatan yang terbaik.

4-Rancangan kewangan

Anda perlu mengenal pasti berapa banyak modal yang akan diperlukan dan bagaimana mencari sumber modal. Saranan yang terbaik ialah mengumpul modal daripada hasil simpanan tanpa berhutang. Mula dengan modal yang minimum. Perlu ada juga laporan kewangan peribadi dan laporan kewangan bisnes (akaun untung rugi). nur