Malasnya kaki mahu melangkah ke tempat kerja jika bos anda adalah seorang yang moody, kan? Malah, anda merasakan seolah-olah emosi anda turut dipengaruhi sikap tidak menentunya. Suka marah-marah, mencari salah tanpa sebab dan macam-macam lagi. NUR ingin berkongsi dengan anda sembilan tip cara berhadapan dengan bos sebegini agar sikap negatif itu tidak sedikit pun memberi kesan kepada diri dan prestasi kerja anda.

 

1-Doa                                                                          

Dalam Islam, kita digalakkan untuk berdoa bagi memohon apa saja kerana ‘Doa Itu Senjata Orang Mukmin’. Berdoalah supaya bos anda mempunyai hati yang lembut dan tenang. Insya-Allah kita bukan sahaja berdoa untuk kebaikan dirinya malah untuk menenangkan jiwa kita sendiri.

2-Kenal Pasti Situasi Yang Tidak Dapat Diubah

Anda perlu tahu apa yang tidak dapat anda ubah apabila berada di tempat kerja, iaitu anda tidak akan mampu mengubah ‘mood’ bos anda. Jika ditakdirkan pada hari ini dia asyik marah-marah tanpa sebab, itulah yang terus berlaku selagi dia sendiri tidak mengawal perasaannya. Apabila anda sedar akan situasi ini, anda dapat bersikap ‘neutral’.

3-Kenali Definisi Tak Ada Mood

Ada kala kita beranggapan tak ada mood sebagai sikap negatif yang tidak mampu dikawal oleh seseorang. Namun, adakah kita tahu perkara yang sedang dilalui oleh individu tersebut? Mungkin ada seseorang yang telah mengguris hatinya. Maka, sematkan di fikiran bahawa bos anda mungkin tiada mood kerana sedang melalui peristiwa sedih. Anda akan lebih positif.

4-Berhenti Sangka Buruk Pada ‘Hierarki’

“Dia kan bos, suka-suka hati sajalah nak marah orang bawahan!” Jangan pernah beranggapan sedemikian. Anda perlu menghindarkan diri daripada membuat sesuatu penilaian dan tuduhan berdasarkan hierarki. Bos juga adalah seorang manusia biasa yang punya hati dan perasaan, maka dia tidak dapat lari dari bersikap sedemikian.

5-Jaga Kesihatan & Pemakanan

Apakah kaitan kesihatan dan pemakanan anda apabila berhadapan dengan situasi ini? Sudah tentu ada. Jika anda tidak sihat, malah dalam keadaan lapar, pasti anda jadi lebih stres melihat sikapnya. Namun, jika anda sihat dan perut telah kenyang, ada kemungkinan anda lebih mudah mengawal perasaan.

6-Dengar & Catat Arahan

Bos yang sedang moody sering kali melihat sesuatu yang kecil sebagai punca untuk melepaskan rasa marah. Justeru, dengar dengan baik dan catat setiap arahan yang diberikan berkenaan sesuatu tugasan. Maka, apabila dia marah anda tanpa sebab, terus tunjukkan perkara yang telah anda catat sebagai bukti agar dia tidak dapat meneruskan kata-kata.

7-Tunjukkan Prestasi Yang Baik

Moody bos selalunya menjadikan seseorang yang agak kurang ‘bagus’ sebagai sasaran untuk melampiaskan kemarahan. Pastikan anda bukan dalam kalangan tersebut. Tunjukkan prestasi yang bagus serta fokus dan rajin di tempat kerja.

8-Motivasikan Diri

Seorang yang sentiasa mampu berfikiran positif tidak akan mudah dipengaruhi orang-orang yang bersikap negatif di sekelilingnya. Bagaimanakah mendapatkan pemikiran yang sihat dan positif? Selalulah membaca buku-buku motivasi atau menghadiri program berunsur kerohanian.

9-Hindari Bertikam Lidah

Jangan sekali-kali cuba membalas kemarahan bos anda secara lisan. Anda mungkin ada kala menjadi kurang sabar dengan sikapnya namun adalah lebih baik jika anda berdiam diri atau meluahkan ketidakpuasan hati tentang sikapnya secara bertulis. Ia menyelamatkan perasaan daripada terlibat dengan ‘tikaman lidah’ bos anda. nur