Tidak ingin melepaskan peluang, Nur menjadikan ibu muda ini sebagai cover penutup tirai 2013. Kali ini, sesi fotografi dilakukan di showroom Kabinet dapur Unity Kitchen. Syura memiliki kecantikan semula jadi dan membuatkan tidak jemu mata memandang, ditambah pula dengan penampilan sopannya menjadikan dirinya  antara ikon selebriti muslimah yang wajar diminati. Ikuti cerita terkini Syura bersama wartawan NUR, Noraznina Ismail.

 

Setelah sekian lama menyepi, akhirnya Syura kembali mewarnai industry tanah air. Penyanyi yang popular dengan lagu Nazam Berkasih dan Bakawali ini kembali menjadi perhatian setelah menjuarai Masterchef Selebriti musim ke-2. Malah kemunculannya ke kaca televisyen mengejutkan ramai pihak terutama peminatnya di mana Syura semakin dengan penampilan berhijab.

 

“Perasaan rindu pada bidang seni dan kontrak yang masih ada dengan syarikat rakaman membawa Syura kembali ke industri ini,” ujar Syura tatkala ditanya mengapa dia kembali aktif setelah sekian lama menyepi.

 

Tambahnya lagi, setelah lama menetap di Johor Bahru tiba masanya dirinya beralih angin ke ibu kota dan memudahkan lagi aktiviti seninya. “ Sebenarnya saya yang minta suami untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak Kementerian Malaysia (KPM) berpindah ke Kuala Lumpur. Siapa sangka perancangan untuk berpindah ke KL berjalan dengan mudah apabila permohonan suami membuat pertukaran sekolah diluluskan begitu cepat,” ujarnya sambil tersenyum manis.

 

Penampilan Berubah

 

Berkongsi cerita bagaimana memulakan penampilan berhijab pada tahun 2009 tanpa diduga dan dirancang. “ Syura masih ingat ketika itu Syura baru habis pantang dan berjalan ke mall, Syura mengajak suami untuk singgha ke butik tudung. Syura memang hendak membeli tudung tapi bukan disebabkan untuk bertudung Cuma ingin menyimpan dan memakainya jika ada majlis yang bersesuaian. Sebelum ini Syura memang tidak ada langsung koleksi tudung. Apabila sudah membeli, syura terus pakai sepanjang berjalan di mall. Keesokan harinya apabila Syura keluar, Syura tidak bertudung. Tiba-tiba timbul perasaan  kurang selesa dengan diri sendiri, malu dan sejak itu Syura mengenakan tudung untuk hari-hari berikutnya. Alhamdulillah dengan penampilan bertudung tidak membataskan aktiviti seni Syura,”tuturnya lembut.

 

Mengenai perkembangan terbarunya, Syura kini semakin sibuk dengan single terbarunya. “Setelah habis rancangan Masterchef, Syura mula siapkan diri untuk merakamkan single lagu.  Kali ini Syura akan bekerjasama dengan komposer Awi Rafael. Jadi, sekarang Syura lebihkan persiapan untuk lagu, video klip dan juga untuk single kedua,” katanya yang berharap agar peminat akan mengingatnya dengan kehadiran single terbarunya nanti.

 

Perbualan NUR bersama Syura tidak terhenti disini. Banyak lagi cerita menarik yang Syura kongsikan bersama kami. Jika anda nak tahu lebih lanjut mengenai Syura, jangan lupa dapatkan Majalah NUR edisi Disember 2013. Terdapat juga info menarik seperti 75 seleksi busana akhir tahun, kisah teladan daripada Spirit Red Indian dan helang, bagaimana agama menjadi penasihat kepada anak apabila mereka dewasa dan banyak lagi. Majalah NUR kini di pasaran!