Kariernya sebagai penyanyi tidak pernah mengubah sisi dirinya sebagai wanita yang menjalani rutin mencari rezeki seperti orang lain jua. Apa yang berbeza adalah perjalanan kariernya diiringi dengan populariti serta ikon selebriti sanjungan peminat.  Walaupun dihambat kekangan waktu dek kerana persediaan Anugerah Juara Lagu ketika temu janji diatur, namun permintaan untuk ditemu ramah dilayani dengan penuh mesra. Ikuti inspirasi dan sisi menarik di sebalik dunia seni Alyah atau pemilik nama sebenar Noor Hasliah Abu Bakar dalam Nur.

 

Ramai peminat yang memuji penampilan Alyah bila Muslimah ini mengambil keputusan mengenakan hijab sekembalinya daripada melakukan ibadah umrah April tahun lalu. Malahan selebriti ini kelihatan semakin ayu dan menawan dengan penampilan bertudungnya kini.

 

“Saya masih belajar untuk memperbaiki diri menjadi Muslimah yang lebih baik. Doakan lah yang terbaik kerana lumrah iman manusia itu ada turun naiknya. Alhamdulillah bertudung tidak menjejaskan sokongan peminat terhadap kerjaya.

 

Cuma saya harap peminat tidak salah anggap apabila kadangkala saya tampil  mengenakan tudung mengikut fesyen kerana komitmen dengan penaja. Dari dahulu lagi saya memang peminat fesyen, pun begitu saya tetap melihat kepada ciri fesyen tudung yang bersesuaian agar dapat mengekalkan imej yang santun.

 

 Lihat sahaja Yuna dan Shila Hamzah mereka tetap kekal bertudung dan terus diminati walaupun kini gigih‘berkarya’ ke peringkat antarabangsa. Alhamdulillah kerjaya saya di bidang seni masih berjalan seperti biasa walaupun sudah bertudung, ” jelas Alyah yakin kualiti lagu adalah kriteria utama yang menjadi tarikan peminat. 

Berasal dari Gelang Patah, Johor, Alyah mula mencipta nama pada tahun 2008 apabila lagu popular pertamanya ‘Tak Mungkin Kerana Sayang’ mendapat tempat di hati peminat. Di sebalik aktiviti seni, Alyah juga mempunyai minat dan rajin memasak di rumah untuk ahli keluarga dan kenalan yang bertandang ke rumah.

 

“Bila tidak menyanyi saya lebih suka menghabiskan masa bersama keluarga di rumah.

Saya suka memasak dan apabila duduk di rumah saya akan masak apa sahaja yang teringin nak dimakan. Keluarga saya ada membuka kedai makan, kakak ada restoran di Johor Bahru dan abang pula membuka restoran makanan laut di Kelantan. Kami sekeluarga memang suka memasak kerana ayah saya sendiri pernah bekerja sebagai Tukang Masak di kapal. Rasanya bakat yang ada pada ayah mengalir dalam diri kami adik beradik,”cerita wanita yang petah bercerita ini.

 

Selain mahir memasak sajian tradisional Johor asam pedas, Alyah juga suka memasak dan menikmati mee sayur iaitu mee sup yang banyak menggunakan sayur dalam ramuannya. Walaupun juadahnya ringkas dan mudah disediakan apa yang lebih penting ia menjadi hidangan menyihatkan buat Alyah sekeluarga. 

 

Minat bisnes fesyen

 

Dikelilingi oleh ahli keluarga yang berkecimpung dalam perniagaan, jiwa bisnes juga turut tersemai dalam diri Alyah. Memilih ‘bisnes online’ sebagai kerjaya sampingannya, Alyah menyediakan tempahan ‘custom made’ untuk busana wanita dan Muslimah. Ia turut menjadi medan untuk dirinya mencipta gaya terkini demi memenuhi cita rasa penggemar fesyen.

 

“Saya memang penggemar fesyen dan bisnes butik online ini mendekatkan lagi saya dengan dunia fesyen. Lagi pun bisnes dalam talian ini boleh diuruskan tanpa menjejaskan jadual karier seni saya. Rekaan sendiri ini lebih ekslusif,” katanya yang mengakui bisnes ini adalah ‘bekalan’ kerjayanya untuk masa hadapan .

 

Seperkara yang menarik mengenai personaliti Muslimah ini adalah dia tidak menganggap populariti yang dikecapnya boleh mengubah sikapnya. Dia masih peramah seperti dahulu. Tiada istilah memilih ‘bulu’ apabila berkawan. Penulis sendiri sangat menyenangi sikap Alyah yang sentiasa sudi membalas panggilan telefon dan teks pesanan ringkas walau dirinya dihimpit dengan kesibukan kerja. Malah ketika di dalam sidang media Alyah tetap membalas panggilan dengan pesanan untuk panggilan semula selepas selesai acara.

 

“Orang yang tidak kenal saya dengan rapat, ada yang mengatakan saya ini nampak sombong. Tetapi sebenarnya saya ni ramah dengan sesiapa dan amat menghargai peminat yang tidak jemu menyokong saya. Tetapi mungkin kerana jadual seni yang padat saya tidak dapat berbual lama, dan kadang kala sukar mencari masa lapang untuk ditemu ramah menjadi punca yang menimbulkan tanggapan ini.

 

 Sekarang saya mendapat khidmat pengurus yang baru, jadi lebih mudahlah untuk mengatur masa selepas ini,” cerita Alyah yang menyimpan azam meningkatkan diri menjadi Muslimah dan hamba Allah yang lebih baik dalam meniti kehidupan yang mendatang.  

 

 

Menarik Bulan Ini

 

Cerita mengenai Alyah tidak terhenti sampai di sini sahaja...banyak lagi yang dikongsikan Alyah untuk pembaca setia Majalah Nur. Untuk tahu dengan lebih lanjut mengenai rahsia kehidupan Alyah selepas betudung, mari beramai-ramai dapatkan majalah Nur keluaran Mac yang telah pun berada si pasaran sekarang. Banyak lagi info menarik berguna buat pembaca seperti 80 Seleksi busana menarik dan sopan, beberapa tip kebahagiaan rumah tangga dan pastinya banyak lagi. Jangan ketinggalan untuk dapatkan majalah Nur keluaran Mac 2014 di pasaran sekarang!