Dalam dunia psikologi terdapat empat jenis sifat manusia, mereka wujud di mana jua termasuklah dalam alam pekerjaan anda. Jadi hati-hatilah dan cubalah serasikan diri dengan rakan sekerjaya yang tergolong dalam empat perwatakan ini.

 

1. Si Popular.

            Memiliki keperibadian yang menarik, gemar berjenaka, suka menghidupkan suasana, sedikit emosional namun bersikap periang dan penuh bersemangat . Dia juga mempunyai sifat rasa ingin tahu yang kuat. Daripada aspek pekerjaan dia adalah seorang yang sangat kreatif, inovatif, sedia membantu dan menjadi rujukan dan contoh semangat orang lain untuk bekerja. Sebagai rakan dia mudah bergaul, mengasihi orang lain tetapi dalam masa yang sama dia suka dipuji dan sikapnya sangat menyenangkan orang lain. Suka kepada kegiatan spontan dia bagaikan seorang pelawak yang sikapnya boleh meredakan stres rakan-rakannya.
 

2.  Si Sempurna

            Gemar berfalsafah dan puitis, serius dan tekun, mendalam berperwatakan seorang pemikir, Dia menghargai keindahan dan peka terhadap perasaan orang lain serta bersikap sangat idealis dan juga suka berkorban. Dalam pekerjaan dia berorientasikan pada jadual, mementingkan kesempurnaan serta memiliki taraf piawaian yang tinggi dan rapi. Setiap pekerjaannya tertib dan tersusun dan akan menyelesaikan apa yang dimulakannya. Sebagai seorang rakan si sempurna ini adalah orang yang setia dan sedia mendengar keluhan tetapi dia sangat berhati-hati bila berkawan. Dia juga sangat perasa dan mudah bersimpati dengan rakannya.

 

3.   Si Kuat.

            Berbakat pemimpin, dinamik dan aktif serta mempunyai kemahuan yang kuat dan tegas.Tidak emosional dalam setiap tindakan dan yang pasti tidak mudah putus asa. Satu sifat yang sangat positif adalah tingkah lakunya memancarkan keyakinan,bebas dan berdikari. Dari aspek pekerjaan pula dia sangat berorientasikan matlamat dan gemar melihat gambaran yang menyeluruh dalam setiap tugasan. Pekerjaannya tersusun serta cepat dalam setiap tindakan. Dia juga bijak mendelegasikan pekerjaan dan sangat menekankan kepada hasil pekerjaan. Si Kuat biasanya tidak terlalu bergantung atau memerlukan teman, dia lebih suka memimpin dan biasanya kepimpinannya unggul walaupun dalam keadaan darurat.

 

4. Pencinta Kedamaian.

            Individu ini bersikap rendah hati , mudah bergaul dan sangat santai dalam rutin kehidupannya. Dia tetap tenang, sabar, konsisten walau pun menghadapi kerumitan.Dia juga bijak menyembunyikan emosi serta tetap bahagia menerima kehidupan. Dalam aspek pekerjaan pula, dia memiliki kemampuan menjadi pentadbir yang baik. Seboleh yang mungkin dia mahu mencegah masalah serta berusaha  menghindari konflik biar pun berada di bawah tekanan. Dia juga sering menemui kaedah yang mudah dalam pekerjaan . Satu lagi sikapnya yang disenangi adalah mudah diajak bergaul, menyenangkan, pendengar yang baik menyebabkan dirinya mempunyai ramai kawan termasuklah diri anda. nur