Pencapaian kerjaya seseorang bergantung kepada sejauh mana individu tersebut mampu memberi perhatian penuh terhadap tugasannya ketika di pejabat. Manakala perhatian penuh itu pula didasari oleh rasa tenang, bersemangat dan gembira ketika bekerja. Jika anda bekerja dengan perasaan marah, sedih dan sebagainya, pastilah prestasi kerja anda merosot.

 

NUR ingin berkongsi 10 tip untuk anda praktikkan agar anda dapat mewujudkan perasaan gembira ketika berada di pejabat dan melaksanakan tugasan.

 

1-Ketepikan masalah peribadi

Jangan sekali-kali membiarkan fikiran anda dibelenggu dengan masalah peribadi di pejabat. Set di dalam minda, saat menjejak kaki di pejabat, terus ketepikan apa jua masalah peribadi untuk seketika.

 

2-Cipta ‘dimensi pejabat’

Apabila anda mencipta ‘dimensi pejabat ‘ di dalam fikiran, anda cuba untuk menjadikan ia sebagai ruang yang cukup selesa untuk anda bekerja dan terasing dari dunia luar.

 

3-Dapatkan teman pemberi semangat

Pastikan ada seseorang di dalam pejabat itu yang boleh dipercayai, menjadi tempat untuk anda berkongsi masalah dan meminta nasihat.

 

4-Jaga pola pemakanan

Makan makanan yang berkhasiat dan minum 8 gelas air putih sehari dapat meningkatkan tenaga serta membuatkan anda lebih segar. Kesihatan diri menyumbang kepada perasaan yang  positif.

 

5-Atur tugasan kerja

Tugasan kerja yang diatur dengan baik dan tersusun dapat menghilangkan rasa bebanan di dalam fikiran anda. Ia mengelakkan anda membuat kerja dalam keadaan tertekan dan kelam kabut.

 

6-Berjalan-jalan untuk seketika

Sekali-sekala ambillah 2-3 minit untuk berjalan-jalan di sekitar pejabat atau melihat pemandangan luar supaya fikiran anda boleh ‘refresh’.

 

7-Jangan cuba mengubah

Anda boleh mengubah sikap anda daripada bermuka masam ke bermuka manis dengan senyuman. Namun, anda tidak boleh mengharap atau memaksa orang lain berbuat begitu untuk anda.

 

8-Beri ganjaran

Apabila anda berjaya menyiapkan tugasan yang anda sasarkan pada hari ini, beri ganjaran kepada diri anda seperti pergi menonton wayang selepas waktu kerja bersama rakan.

 

9-Amalkan senaman

Dengan mengambil sedikit masa, mungkin 10 minit untuk melakukan senaman pernafasan, senaman ringan atau yoga akan membantu anda untuk lebih tenang melakukan kerja.

 

10-Fikir yang positif

Fokus kepada perkara yang positif sahaja di pejabat. Jika ada satu sahaja perkara positif, tetapi 10 perkara negatif, usaha untuk tetap membangkitkan semangat diri anda dengan yang positif itu sahaja. nur