Sebut saja fesyen seperti 'jumpsuit', mungkin belum ramai lagi mempunyai keyakinan yang tinggi untuk memakainya. Jika anda khuatir dilabel sebagai fesyen 'Teletubbies', kami boleh beri tip bagaimana anda boleh ber-jumpsuit tetapi masih menutup aurat!

 

Perkara pertama yang perlu anda tahu tentang fesyen pakaian seperti jumpsuit adalah potongan baju yang bersambung dengan seluar sekaligus ia dianggap pemakaian yang mudah.

 

Siapa kata wanita muslimah tidak boleh bergaya dengan jumpsuit? Untuk mengelakkan jumpsuit kelihatan seksi atau terlalu membentuk tubuh, ada beberapa perkara perlu diambil kira.

 

Pemilihan dari segi warna adalah penting kerana warna memberi kesan pada bentuk fizikal seseorang. Dalam pemilihan jumpsuit, pilihlah warna gelap supaya tidak terlalu menampakkan bentuk tubuh badan anda. Sama ada anda kurus atau gemuk, warna gelap mampu menutup 'cela' pada tubuh. Jika anda lebih gemar memilih warna pastel, pastikan warna pastel bukan kosong sebaliknya bercorak.

 

Tambahan seperti kardigan atau jaket tipis adalah perlu memandangkan kebanyakan jumpsuit tidak berlengan. Sebagai wanita berhijab, pilihlah kardigan yang mempunyai potongan panjang yang boleh menutup sebahagian belakang tubuh anda. Jika anda tidak gemar mengenakan kardigan, pilih jumpsuit berlengan panjang yang mempunyai potongan lengan jenis ruffle.

 

Dari segi saiz pula, elak memilih saiz jumpsuit yang hanya muat pada saiz tubuh anda. Adalah lebih baik memilih saiz jumpsuit sedikit lebar atau besar supaya pergerakan tidak terlalu terhad dan anda tidak merasa kekok atau malu apabila berpakaian ketat. Pemilihan potongan kaki pada seluar yang besar adalah lebih selamat dan bukannya berpotongan 'skinny'.

 

Anda masih boleh kelihatan berfesyen jika pemilihan tudung sesuai dengan jumpsuit. Selendang jenis crumple, chifon atau pashmina lebih sesuai dipadankan dengan jumpsuit.

 

Oh ya! Jangan lupa aksesori seperti rantai panjang dan  gelang manik. Biar jadi penggemar fesyen hippies yang sedikit 'selekeh' tetapi masih mempunyai gaya menarik tetapi bukan fesyen teletubbies yang menjadi bahan ketawa orang sekeliling. Apa pendapat anda?