Dunia fesyen ibarat dimensi yang tiada lagi sempadan. Setiap masa ada sahaja paten terkini yang muncul di pentas penggayaan, termasuklah fesyen muslimah. Namun usah menjadi mangsa fesyen. Sebagai seorang wanita Islam yang didasari dengan hukum syariat, biarlah pemilihan fesyen itu bertepatan dengan garis panduan yang dibenarkan.

Wanita hamil turut tidak terkecuali mahu mengikuti arus fesyen terkini. Ia bukanlah satu kesalahan. Namun, ada kala para ibu hamil terlupa bahawa dengan ‘perkembangan’ tubuh badan terutama pada bahagian-bahagian tertentu seperti punggung dan payudara, mereka tidak seharusnya menyarungkan busana yang biasa dipakai.

Sebagai contoh, mungkin jubah dengan material lycra masih boleh dipakai sebelum hamil. Walaupun kainnya jenis yang sedikit ketat dan melekat, namun tidaklah ketara. Tetapi, setelah hamil, sudah pasti busana itu tampak melekat di tubuh ibarat kata orang, ‘bagai balutan nangka’. Bentuk bahagian-bahagian sensitif jelas kelihatan. Ini amat memalukan.

Apabila menyedari tubuh badan kita semakin besar, kita seharusnya memilih busana yang sesuai untuk dipakai ketika hamil. Busana khas untuk ibu hamil yang longgar dan besar ideal dijadikan pilihan. Ini kewajipan utama kita sebagai wanita Islam yang membawa sebuah amanah sebagai ‘role model’ yang menggambarkan perintah Allah dan ajaran Rasulullah SAW. nur