Seorang ibu diibaratkan sebagai sebuah sekolah paling awal bagi anaknya. Ibu juga diandaikan sebagai sebuah pusat pendidikan yang mengajar dan mendidik pelbagai ilmu dan kemahiran dalam kehidupan anak-anak dengan penuh perasaan cinta dan kasih sayang. Lihatlah, betapa besarnya peranan ibu dalam sesebuah masyarakat untuk membentuk generasi muslim dan muslimah yang cemerlang dan bertakwa, kelak akan mencorak dan menentukan bangun jatuhnya sesebuah bangsa.

 

Sebagai pendidik terawal, ibulah yang akan meletakkan asas pendidikan terutamanya daripada aspek keimanan dan ketakwaan dalam proses mendewasakan anaknya dari sudut mental, fizikal, sahsiah dan pematangan jiwa.

 

Sebagai wanita Islam, walau seberat mana sekalipun tugas seorang ibu, tetapi keimanan dan harapannya  untuk memiliki syurga akhirat dapat memotivasikannya untuk bersungguh-sungguh menjadi seorang ibu yang baik. Lebih-lebih lagi Islam telah memberikan kedudukan dan penghormatan yang tinggi terhadap seorang ibu sebagaimana dia jugalah menjadi salah satu penentu seseorang untuk meraih syurga atau neraka.

 

Seperti sabda Rasulullah s.a.w:

Syurga itu di bawah telapak kaki ibu. (Riwayat Muslim)

 

Syirik kepada ALLAH, derhaka kepada ibu bapa (perawi menerangkan, bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu. - Hadis Riwayat Bukhari

 

Justeru, untuk membentuk generasi cemerlang  dan bertakwa, tidak cukup hanya dengan melahirkan  anak-anak yang cerdas mentalnya sahaja, tetapi ibu bapa juga memainkan peranan besar dalam melahirkan mereka yang berjaya dari pelbagai aspek seperti biofizik, psikososial, budaya dan ruhiyah  yang merangkumi aspek dunia dan akhirat. Maka, untuk membentuk generasi yang dilengkapi dengan kriteria seperti yang dinyata kan, seseorang ibu perlu juga memiliki sifat-sifat yang cemerlang, beriman  dan bertakwa terhadap ALLAH SWT.

 

Antara persediaan yang boleh dilakukan ialah:

 

Persediaan aqliah (ilmu pengetahuan)

Jika ibu bapa berperanan sebagai sekolah terawal bagi anak-anak, maka mereka perlu terlebih dahulu berusaha menuntut seberapa banyak ilmu pengetahuan agar dapat menjadi seorang murabbi yang bijak. Ibu yang pintar boleh berfikir dengan kreatif tentang cara terbaik untuk mengembangkan potensi anak-anaknya. Kebiasaannya, mereka yang mencintai pendidikan akan turut mementingkan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak juga.

 

Persediaan jasmaniah

Kekuatan fizikal juga merupakan perkara yang  perlu diberi perhatian oleh bakal ibu. Ia amat diperlukan untuk menghadapi saat-saat kehamilan dan waktu penyusuan yang berlanjutan selama dua tahun. Seseorang bakal ibu mungkin tidak dapat mempertahankan kesihatan janin sekiranya dirinya menghidapi pelbagai jenis penyakit akibat kelalaian menjaga kesihatan semenjak sebelum berumah tangga lagi. Saat kehamilan merupakan waktu paling sukar yang dialami oleh seorang bakal ibu dengan keadaan fizikalnya yang lemah menanggung anak yang semakin membesar dalam kandungan.

 

Persediaan ruhiyah

Atas kesedaran betapa besarnya peranan seorang ibu, maka seorang wanita harus banyak mendekatkan diri kepada ALLAH SWT untuk memohon kekuatan ruhiyah dan petunjuk dalam mendidik kurniaan-NYA itu. Oleh itu, seorang bakal ibu harus sentiasa melakukan ibadat-ibadat sunat selain yang sedia wajib. Seorang wanita solehah ialah muslimah yang mengimani bahawa ALLAH SWT adalah Rabbnya, Muhammad s.a.w adalah Nabinya dan Islam adalah agamanya. Seorang muslimah sejati juga akan sentiasa mencintai ALLAH dan Rasul, serta mentaati terhadap semua perintah dan ajaran Islam hingga menjadikan ketaatannya itu sebagai tembok yang membentengi dirinya daripada perkara-perkara maksiat.

 

 

Sedarilah bahawa, ibu juga merupakan model terbaik yang akan menjadi ikutan anak-anak dalam setiap perbuatan yang dilakukan. Jika menginginkan anak yang tidak bercakap bohong, maka janganlah berkata dusta di hadapannya. Jika mengimpikan anak yang menghormati dirinya, maka ibu itu perlu menghormati kedua orang tuanya terlebih dahulu. Jika mendambakan seorang anak yang rajin bersedekah, biasakanlah diri terlebih dahulu untuk memberi.