Lihatlah di mana sahaja, begitu banyak berita mengenai kes kezaliman yang tidak sepatutnya berlaku kita dengar. Seperti kejadian di Mesir, rakyatnya dizalimi dengan cara paling tragik dan menyedihkan. Namun, terfikirkah anda, bahawa konflik yang berlaku di Mesir bukan sahaja menguji keimanan buat rakyatnya di sana. Malah ia juga menguji keimanan umat Islam di seluruh dunia. Malah bukan itu sahaja iman kita diuji.

Sekuat manakah iman kita, tiada siapa yang mampu menjawab persoalan tersebut. Melihat dan menyatakan keimanan, belum tentu dapat mengukur iman seseorang. Iman juga bukan warisan, maka kita semua diuji dengan keimanan kita, sekuat dan seteguh manakah ia?

  "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (QS Al-Ankabut:2-3).

Melalui ayat di atas, Sayyid Qutb (1327-1386 Hijrah) menafsirkan sesungguhnya iman itu bukanlah hanya sebuah kata-kata yang diucap, malah iman adalah suatu hakikat yang mempunyai tugasnya, suatu amanah yang mempunyai beban tanggungjawabnya, suatu jihad yang memerlukan kesabaran dan suatu perjuangan yang memerlukan ketabahan.

Langkah-langkah Mewujudkan Keimanan

Menerima ujian dengan tenang  

Ujian itu diturunkan bertujuan untuk mengetahui mana yang benar dan mana yang salah.  Kerana, hakikat iman yang benar  itu adalah rela berkorban dengan tenaga, fikiran, harta benda dan juga nyawa.  Dan Allah SWT juga turut menggambarkan golongan yang benar imannya di dalam al-Quran menerusi  surah Fussilat ayat 30-31.

Menjadikan Iman penggerak semangat

Sekiranya ingin mencapai apa yang pernah dicapai oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat, maka hendaklah kita semua memperbaharui iman dan melaksanakannya. Kerana iman itu bukan sekadar rekaan tetapi  perlukan pelaksanaan.

Kuatkan Iman untuk mencapai dugaan berikut:

  • Godaan Nafsu

Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran menerusi surah Al-Jathiyah ayat 23 yang bermaksud, orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat. Kemudian Allah mengunci mati pendengaran dan hatinya, serta menutup penglihatannya. Jika  ini yang terjadi, siapakah yang memberi petunjuk selain Allah SWT?

  • Sombong

Allah SWT telah berfirman:

“Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana dia melihat dirinya serba cukup. ( Al-Alaq : 6-7)

  • Cinta Dunia

Allah SWT berfirman:

“Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka neraka Jahim-lah tempat kembalinya. ( An-Naaziat : 37-38)

  • Syahwat

Dalam surah Ali-Imran ayat 4, Allah ada menyebut, contoh-contoh kesenangan hidup di dunia yang boleh mendorong syahwat, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta emas dan perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternakan, serta sawah dan ladang.

Bahawa Allah SWT menguji keimanan hambanya dengan pelbagai cara yang mungkin tidak diketahui kita sendiri. Jadi apa yang perlu kita lakukan ialah persiapkanlah diri dalam mengukuhkan peradaban iman.