Di majlis ramah mesra bersama media anjuran badan sukarelawan Aman Palestin baru-baru ini, terharu perasaan penulis menghayati kelantangan, ketegasan dan  sedikit kesayuan dan nada sebak suaranya yang mengiringi baitbait lontaran tutur kata ucapannya. Melalui terjemahan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai  Eksekutif, Aman Palestin, Awang Suffi an Awang Piut, inilah kali pertama penulis mendengar pengakuan secara langsung oleh seorang pejuang yang kehidupannya seperti juga masyarakat Palestin lain yang membesar dengan menjadi saksi dan mengalami kekejaman tentera Israel.
 
       Memetik kata-kata dalam ucapan, luahnya, “Tentera Zionis bukan sahaja menzalimi orang Islam yang hidup malah juga mereka yang telah mati. Terdapat lebih kurang 100 universiti di Palestin 1948 didirikan atas kubur jenazah ulama dan umat Islam. Universiti Tel Aviv contohnya didirikan di atas makam para syuhada dan ulama. Kubur dibongkar dan tulangnya dibuang ke laut. Ada juga yang didirikan sekolah dan dewan di atasnya. Inilah kezaliman yang melampaui batas hingga sanggup menyeksa orang yang sudah mati. Lebih  menyedihkan lagi daripada 1,200 buah masjid di Palestin kini tinggal hanya 50 masjid sahaja lagi. Tentera Zionis akan sentiasa merobohkan masjid dan melakukan penghinaan terhadap masjid. Ada masjid yang dijadikan kedai menjual minuman keras, dewan tari menari, kandang kuda, muzium dan sebagainya. Tetapi masyarakat Islam tidak pernah berhenti dan beralah daripada terus membina masjid walaupun menyedari ia tidak akan bertahan lama dan bakal dibom pada bila-bila masa.” 
 
       Menurut Syeikh Raed lagi terdapat satu perkampungan di Neqab dimana tentera Israel pernah menghancurkannya selama 40 kali tetapi ia tetap terus dibina semula oleh rakyat Palestin.“Walaupun harta kami dimusnahkan, kebun kami dibakar, dan tanaman zaitun kami dicabut, mereka hanya berjaya memisahkan kami dengan harta tetapi bukannya semangat juang kami. Bumi dan masjid suci Al-Qasa akan kami pertahankan sehingga titisan terakhir. Pilihan yang ada hanya ada dua  sahaja sama ada terus cuba hidup bahagia dan berjuang di sini atau mati sebagai syuhada, namun bumi ini tidak sekali-kali akan kami tinggalkan,” ucapnya dalam nada yang bersemangat dan agak sayu. 
 
 
PENGALAMAN MEMBARAKAN PERJUANGAN. 
 
       Sejak kecil lagi ibu Syeikh Raed sering bercerita mengenai saudara maranya yang mati syahid dalam menegakkan Islam termasuk abang dan bapa saudaranya yang terkorban dalam memperjuangkan bumi Palestin. Beliau sendiri pernah ditangkap tentera Zionis pada usia yang begitu muda. Hubungannya dengan masyarakat sekitar Masjid Al Aqsa sudah lama terjalin iaitu ketika masih menuntut di universiti sekitar tahun 1979, Dia sering berkunjung ke Masjid Al Aqsa untuk beribadat di sana. Tentera Zionis telah menangkap hampir 60 orang di situ termasuk dirinya. Beliau turut sama dipenjarakan selama
enam bulan. 
 
       Malah ketika berkunjung ke Malaysia beliau masih lagi menjadi buruan tentera Israel dan sedang menghadapi pendakwaan palsu di empat mahkamah termasuk penglibatannya dengan kapal Mavi Marmara. Menyedari bahawa mustahil ada keadilan di dalam mahkamah Israel beliau enggan memberi kerjasama kepada badan penguasa yang tidak pernah diiktiraf olehnya dan masyarakat Islam. Yang pasti kiranya wujud keadilan dalam pendakwaan ia akan menghancurkan Israel. Pada 2005 beliau juga pernah ditangkap sekali lagi dan dipenjarakan selama dua tahun. Bercerita mengenai pengalamannya di penjara Israel,luahnya,“Israel tidak membezakan di antara lelaki dan wanita. Terdapat setengah juta penduduk Palestin yang masih lagi terpenjara. Ada yang syahid dan mati di dalam
lokap akibat penyakit berbahaya dan seksaan yang tidak tertanggung. Ramai wanita hinggakan kanak-kanak yang tidak lebih daripada 10 tahun juga turut disumbat ke penjara. Tiada penjara di dunia ini yang melakukan kekejaman seperti ini. Anak-anak ada yang lahir di penjara, bagi para ibu bapa yang tidak pernah berjumpa dengan anaknya hanya dapat bertemu semula apabila anak mereka pula dimasukkan ke penjara. Wanita dijatuhkan dengan hukuman dan seksaan yang sama seperti lelaki. Ada juga wanita yang sarat hamil terpaksa melahirkan anaknya dalam keadaan kakinya terikat. Begitulah deritanya kehidupan penghuni penjara di sana.”
 
      Selepas dibebaskan pada tangkapan kali pertama ia telah meniupkan bara untuk terus berjuang di dalam dirinya. Syeikh Raed kemudiannya bertugas untuk sebuah majalah yang terkenal iaitu majalah Islamiah. Ia lebih memfokuskan mengenai Islam dan tatacaranya. Selepas beberapa ketika bersama majalah itu beliau dilantik pula menjadi Datuk Bandar Umm Al Fahm. Namun memilih untuk meletakkan jawatan dan bekerja sepenuh masa sebagai aktivitis memperjuang kan
nasib Masjid Al Aqsa dan Baitulmuqaddis Syeikh Raed juga dikenali sebagai individu pertama menemui terowong yang dibina tentera Israel dan sanggup berkorban
nyawa sekalipun untuk menyelamatkan bumi Al Aqsa serta bumi Palestin. Akuinya, “Benar, saya telah mendedahkan aktiviti penggalian terowong rahsia oleh pihak tentera Israel di bawah Masjid Al Aqsa pada tahun 1996. Mereka mahu meruntuhkan masjid dan menggantikannya dengan gereja. Walaupun mereka
mendakwa tujuan menggali adalah untuk mencari “The King Solomon Temple” tetapi pencarian mereka selama 46 tahun tidak membuahkan hasil hingga kini. Masjid yang sedia ada juga sudah retak akibat penggunaan bahan kimia. Kami akan terus mempertahankannya.
 
       Saya telah membuat dokumentari, pameran dan filem dan apa jua  pemberitahuan mengenai kekejaman tentera Israel terhadaprakyat Palestin dan usaha mereka untuk meruntuhkan masjid Al-Aqsa. Tentera Zionis  yang sudah menghidu pergerakan mereka telah didedahkan telah menangkap saya bersama 12  orang Islam di sana. Kami ditangkap dan dipenjarakan selama
enam bulan.” Walau telah terlalu banyak ujian dan pahit getir yang telah dilalui tokoh yang sudah pun melebihi separuh abad ini namun
dia tetap tabah meneruskan perjuangan.
 
       Memetik mesejnya dan seruannya kepada umat Islam di akhir ucapan,“Perjuangan ini tiada hentinya, saya tidak akan berhenti daripada berjuang. Saya akan terus berkempen agar suara saya didengar untuk memohon pertolongan negara luar dan negara Islam agar dapat membantu kami. Saya tahu pihak Zionis tidak pernah berhenti daripada terus mencuba menawan bumi Palestin. Isu masjid Al Aqsa ini bukanlah isu penduduk Palestin sahaja malah ia adalah isu setiap Muslimin dan Muslimah, ia adalah isu Al Quran. Jika rumah kita dicerobohi  oleh musuh pastinya kita akan mempertahankannya , apalagi jika yang diceroboh musuh ini adalah masjid Al Aqsa kota suci milik umat Islam tentulah kita sebagai umat Islam harus bangkit mempertahankannya bersama-sama.”