Para ibu pasti letih dan tertekan apabila mempunyai anak yang hiperaktif. “Anak saya tak boleh duduk diam walau seminit. Panjat sana, lompat sini, penatnya!” Mungkin begitulah keluhan mereka. Apatah lagi jika ibu yang bekerjaya. Memang tiada rehat dibuatnya.

Sebenarnya ibu-ibu yang diuji dengan anak hiperaktif perlu lebih banyak bersabar. Mereka tidak boleh menyalahkan anak itu dengan merasa kesal dan asyik merungut serta mengeluh. Malah, jangan pula dipukul dan dibentak dengan kasar terhadap anak itu.

Ada cara yang boleh dipraktikkan, insya-Allah berkat kesabaran si ibu, anak hiperaktif akan mulai faham bagaimana mereka harus mengawal diri. Pertama sekali, tetapkan peraturan kepada si anak. Contohnya, tulis dengan besar dan jelas serta tampalkan di dinding apa hukuman yang bakal diterima jika dia melakukan sesuatu perkara yang melampau.

Kedua, bawalah anak itu ke taman permainan atau tempat bermain yang selamat untuk dia bergerak bebas. Biarkan dia bermain sepuas-puasnya. Apabila sudah letih dan dapat melepaskan rasa ‘aktif’ itu, dia akan bersikap lebih baik.

Selain itu, tetapkan rutin buat mereka. Anak hiperaktif selalunya disebabkan tiada peraturan atau rutin buat mereka. Tetapkan jadual waktu bermain, makan, tidur dan sebagainya dan pastikan dia mengikut peraturan tersebut.

Seterusnya, sentiasa peka dengan sikap baiknya. Jika sekali dia mengikut peraturan dan buat sesuatu yang membanggakan, beri pujian dan penghargaan. Anak hiperaktif selalu inginkan perhatian, bukan balasan negatif daripada ibu dan ayahnya.

Akhir sekali, usah biarkan dia selalu menonton televisyen tambahan pula rancangan kartun yang mengandungi unsur-unsur pergaduhan dan kelakuan kasar. Anak hiperaktif lebih suka berkhayal dan ini mengundang bahaya buat mereka.

Sabarlah dengan anak-anak hiperaktif dan didiklah mereka secara lembut tetapi masih tegas dan berdisplin. Mereka akan berubah walaupun ia memakan masa yang panjang. nur