“Wanita adalah pemimpin atas rumah tangga suaminya dan anak suaminya, dan dia akan ditanya tentang mereka.” (HR. Al Bukhari dan Muslim). (Al-Mukminat, hal. 12-14)

 

Wanita menurut Hukum Syariat

 

Syariat Islam yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi-Nya Muhammad s.a.w menetapkan bahawa wanita adalah insan yang mukallaf sebagaimana lelaki. Wanita wajib bersaksi tidak ada Tuhan yang berhak sembah kecuali Allah SWTmdan Muhammad itu adalah utusan Allah. Dia harus menegakkan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan berhaji jika ada kemampuan. Dia juga wajib beriman kepada Allah SWT, malaikat-malaikat- Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, beriman akan datangnya hari akhir dan beriman dengan takdir Allah SWT, yang baik ataupun yang buruk semuanya ditetapkan oleh-Nya.

 

Wajib pula bagi wanita untuk beribadah kepada Allah SWT seakan-akan dia melihat Allah. Jika tidak mampu menghadirkan yang seperti ini, maka dia harus yakin Allah SWT sentiasa melihatnya dalam seluruh keadaan, ketika sendiri ataupun bersama orang ramai. Wanita juga harus melaksanakan amar makruf nahi mungkar semampunya, melaksanakan apa yang diperintahkan dan menjauhi apa yang dilarang.

 

Dia pun diperintahkan untuk berhias dengan akhlak mulia seperti jujur, amanah, dan adab-adab Islam lainnya. Bebanan syariat ke atas wanita sebagaimana lelaki ini tidak lain bertujuan untuk memuliakan wanita dan meletakkannya darjat keimanan yang lebih tinggi. Kerana, pemberian beban syariat kepada seorang hamba hakikatnya adalah bertujuan untuk memuliakannya. Bukankah di sebalik beban syariat itu ada pahala yang dijanjikan dan kenikmatan abadi yang menanti? Perlu diketahui, sekalipun wanita mempunyai kedudukan yang sama dengan lelaki dalam hukum syariat, namun ada beberapa kekhususan hukum yang diberikan kepada wanita. Di antaranya:

 

 

1.       Wanita tidak diwajibkan mencari nafkah untuk keluarganya.

 

2.       Dalam warisan, wanita memperoleh setengah dari bahagian lelaki, sebagaimana Allah SWT berfirman:

“Allah memberikan wasiat kepada kalian tentang pembahagian warisan bagi anak-anak kalian, iaitu anak laki-laki mendapat bahagian yang sama dengan bahagian yang diperoleh dua anak perempuan.” (An-Nisa`: 11)

 

3.       Wanita tidak boleh memimpin lelaki, bahkan dia harus berada di bawah kepemimpinan lelaki.

 

Allah SWT berfirman:

 

“Kaum lelaki adalah pemimpin ke atas kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka.” (An-Nisa`: 34)

 

Ketika seorang wanita diangkat sebagai pemimpin oleh suatu kaum, maka mereka tidak akan beruntung.

 

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tidak akan beruntung suatu kaum yang mereka menyerahkan urusan mereka kepada seorang wanita.” (Riwayat Al Bukhari) Rasulullah s.a.w bersabda seperti ini tatkala mendengar berita bahawa penduduk Parsi telah melantik Buran, puteri Maharaja Kisra, sebagai ratu mereka. Al-Imam Ash-Shanaani ra berkata: “Di dalam hadis ini ada dalil yang menunjukkan tidak boleh seorang wanita itu memimpin sesuatu pun dari hukum-hukum yang bersifat umum di kalangan Muslimin….” (Subulus Salam, 4/190)

 

Semua kekhususan yang ditentukan oleh Islam terhadap wanita  ini bertujuan untuk menjaga agama, akal, nasab atau keturunan, jiwa dan harta, di mana –menurut Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-’Asqalani ra – apabila perkara ini dijaga nescaya akan wujud kebaikan dunia dan akhirat. (Fathul Bari, 1/226).