Buat julung kalinya NUR, Dara.com & Majalah I bergabung untuk menganjurkan Iftar dan memasak bubur lambuk di Riverstone Eco Resort Ulu Yam pada Sabtu lepas. Majlis yang dianjurkan ini bertujuan untuk meraikan anak-anak yatim dan miskin sekitar Cheras. Aktiviti ini juga mendapat sokongan daripada Pearl Haya sebagai penaja utama, serta disokong oleh Adabi, Alfa Romeo Club Klang Valley (AROCKV) & Kelab Kembara 4x4 Selangor, Shurah, Yeo’s, Volunteers KL dan Arby Bakery.

 

Bermula jam 1.00 tengah hari, pihak Adabi, Volunteers KL dan krew majalah bergotong-royong memulakan kerja-kerja memasak bubur lambuk di Riverstone Eco Resort. Sekitar jam 2.30 petang, konvoi AROCKV dan Kelab Kembara 4x4 Selangor memulakan perjalanan dari Kumpulan Media Karangkraf ke Bandar Tasik Selatan untuk mengambil lebih kurang 20 orang anak-anak yatim & miskin. Diiringi tiga buah motosikal polis, lima buah kereta Alfa Romeo dan lima buah 4x4, kanak-kanak ini cukup gembira apabila dapat merasai sendiri pengalaman berkonvoi. Rata-rata mereka cukup teruja dan tidak menyangka dapat menjadi seperti VIP.

 

Lebih kurang jam 4.30 petang, mereka sampai ke Riverstone Eco Resort dan disambut meriah oleh krew-krew yang telah sedia menunggu. Majlis dimulakan dengan sesi solat asar berjemaah, tazkirah asar oleh Ustaz Ahmad dan penyerahan duit raya daripada Pearl Haya, Kumpulan Media Karangkraf, Adabi, dan AROCKV. Kehadiran Ana Rafali ke majlis ini juga membuatkan kanak-kanak ini teruja dapat mendekati artis pujaan mereka. Yang pasti mereka tidak pulang dengan tangan kosong. Selain bubur lambuk, kanak-kanak ini turut mendapat cenderahati daripada Kumpulan Media Karangkraf dan hamper daripada Shurah. Alhamdulillah dengan hidangan yang enak dari Riverstone Eco Resort, Grup Islamik mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penaja dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan majlis ini.