IKHLAS. SATU SIKAP YANG MENYENTUH JIWA SESIAPA JUA. TAPI BOLEHKAH IKHLAS DINILAI OLEH MANUSIA , HANYA ALLAH S.W.T SAHAJA YANG MENGETAHUI HATI DAN NIAT HAMBANYA DALAM MELAKUKAN SESUATU. TETAPI MENJADI AMALAN MURNI UNTUK CUBA BERUSAHA MELAKUKAN SESUATU DENGAN IKHLAS DAN JUJUR. TIADA FORMULA KHUSUS UNTUK MERAIHNYA NAMUN DENGAN MENJADI JUJUR, GERAK HATI DAN IMAN YANG KUAT PASTINYA KEIKHLASAN ITU AKAN DIRASAI.

1: Berkelakuan sama semasa bersendirian atau dengan kehadiran orang lain.

Jadilah diri anda yang sebenar, dan bukannya berpura-pura menjadi orang lain. Jadilah insan yang jujur dan dipercayai. Jika anda terlalu beria mencuba untuk menjadi orang yang anda fikir orang lain ingin melihatnya, hasilnya anda sering menggambarkan ketidakikhlasan. “Melakonkan”personaliti yang bukannya sebahagian daripada diri anda bukan sahaja sukar tetapi tidak mencerminkan watak yang ikhlas.

2: Buatlah sesuatu bukan kerana mengharap balasan atau ganjaran

Pekerjaan yang dibuat adalah untuk berbuat baik dan mengikut gerak hati yang murni. Apabila anda memberi atau berkhidmat tanpa mengharap balasan, pemberian itu menjadi perlakuan yang ikhlas dan keprihatinan yang tulus.

3: Fahamilah, keikhlasan itu terbit dari hati

Apa sahaja yang dilakukan atau dituturkan, adalah penting ia datangnya dari hati dan anda bersungguhsungguh memaksudkannya. Anda tidak akan mampu menjadi ikhlas jika anda menyebut suka kepada sesuatu walaupun sebenarnya anda membencinya. Samalah juga anda tidak bersikap ikhlas apabila anda berkata sukakan seseorang itu walaupun hakikatnya anda sangat membenci orang itu.

4: Bercakaplah dengan benar

Jika anda ‘terperangkap’ dengan situasi yang memerlukan anda berucap untuk merakamkan penghargaan atau meluahkan pendapat tetapi anda terasa pula seperti terpaksa berbohong ‘white lies’ demi menjaga hati orang yang hendak diberikan pujian dalam ucapan anda itu. Solusinya mudah sahaja, pilihlah yang benar. Pilihlah tiga kriteria baik yang ada pada dirinya dan kembangkan fakta itu dalam ucapan anda. Ini akan membantu anda untuk berucap dengan ikhlas dan jujur dari hati.

5: Jangan berlebihan bila memuji

Keikhlasan adalah berkisar kepada reaksi spontan dan respon yang sejujurnya daripada fikiran dan hati anda. Komen berlebihan tidak kiralah sama ada melalui e-mel, ucapan, surat atau perbualan sering menyebabkan kata-kata itu kelihatan tidak ikhlas malah penerimanya mungkin menjadi curiga dan kelihatan seperti anda sedang ‘mengayat’ atau melobi untuk mendapatkan sesuatu dari dirinya seperti memohon tempoh deadline, kenaikan pangkat, atau mahukan persetujuan darinya.

6: Harta dan pangkat bukan ukuran

Keikhlasan akan lebih terpancar jika anda sedia menerima seseorang rakan di dalam kehidupan tanpa ada perasaan untuk membanding-bandingkan diri anda dengan apa yang orang lain miliki dan tidak dimiliki anda. Ukuran material dan harta sering memusnahkan kemampuan untuk berlaku ikhlas dengan orang lain kerana fokus anda banyak tertumpu kepada melindungi dan menambah harta yang ada. Jadi, anda kurang cenderung untuk menyumbang dalam masyarakat dan di tempat kerja kiranya perkara ini menjadi ukuran dalam kehidupan.