Sejadah merupakan pelapik yang bersih dari segala kekotoran yang dijadikan alas bagi penganut agama Islam untuk mengerjakan solat lima waktu setiap hari. Akan tetapi, kita sering digemparkan dengan pelbagai imej tersembunyi yang disorokkan di atas corak sejadah. Jika sekali, mungkin boleh dianggap tidak disengajakan. Tetapi jika ia berulang kali, apa pula fikiran anda?

 

Simbol kepala khinzir, salib, botol arak, dan paling menyedihkan terdapat juga simbol seks atau kemaluan pada sejadah tempat kita bersujud setiap hari. Hal ini berlaku bukan di luar negara, tetapi kes-kes yang kami sebutkan ini adalah apa yang berlaku di sekitar kita dan tidak mustahil sejadah yang kita miliki boleh jadi salah satunya.

 

Sebagai pembeli kita perlu harus berhati-hati. Meskipun tawaran sejadah yang diberikan murah dan kelihatan cantik pada sekilas pandangan mata, namun ketelitian terhadap pemilihan barangan seperti ini tidak boleh diremehkan. Lebih-lebih lagi jika kita berniat menyedekahkan sejadah ke masjid atau surau-surau di sekitar tempat tinggal kita. Dikhuatiri kita secara tidak langsung terlibat dalam penyebaran sejadah yang menghina Islam.

 

Apa yang kami tahu tentang isu ini, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah membuat keputusan untuk mengharamkan penggunaan tikar sejadah yang mengandungi corak menyerupai lambang-lambang pelbagai agama. Hal ini dilakukan kerana corak-corak sebegitu boleh meragukan, mengelirukan serta mengganggu kekhusyukan solat, juga boleh menjejaskan akidah.

 

Jadi kita semua harus lebih berhati-hati selepas ini. Seperti mana gambar-gambar yang kami kumpulkan ini, yang diambil dari beberapa tempat di Internet menunjukkan corak-corak menghina dan mengelirukan yang diletakkan pada corak sejadah. Sejadah adalah alas untuk kita bersolat dalam keadaan bersih dan menambah kekhusyukan. Namun jika sejadah yang kita ada menghina, mengelirukan malah memesongkan, maka pilihlah yang tidak bercorak. Itu lebih baik rasanya. Wallahualam.