Soalan : Saya sedang hamil tiga bulan dan mengalami alahan yang teruk. Saya belum habis menggantikan puasa yang tertinggal pada Ramadan tahun lalu dan nampaknya Ramadan tahun ini juga saya tidak berapa kuat untuk menjalani ibadah puasa kerana bimbang janin yang dikandung. Apakah yang patut saya lakukan?

Jawapan : Allah SWT berfirman :“(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.” [Al-Baqarah 2:184]

Orang yang sakit dan musafir tidak diwajibkan berpuasa disebabkan oleh kesukaran yang mereka hadapi. Berdasarkan kaedah qiyas di atas faktor kesukaran ini, wanita yang hamil atau menyusu juga tidak diwajibkan berpuasa. Seterusnya mereka diberi opsyen sama ada untuk mengqada puasa itu atau membayar fidyah. Mengqada puasa adalah lebih utama, namun tempoh kehamilan diikuti dengan tempoh menyusu yang agak lama menjadikan opsyen membayar fidyah sebagai yang lebih sesuai.

Ada pandangan yang menyatakan wanita hamil dan/atau menyusu hendaklah mengqada puasa serta membayar fidyah. Ada pula yang membezakan kesukaran berpuasa pada awalnya adalah kerana kesihatan ibu atau kesihatan janin dan bayi. Pendapat-pendapat ini sebenarnya tidak berasas, malah menjauhi roh Islam yang sentiasa memberi jalan mudah apabila berhadapan dengan kesukaran.