Berzikir ialah satu amalan yang disyariatkan dan sangat dituntut dalam Islam. Ia boleh dilakukan dengan hati atau lidah atau yang sebaik-baiknya adalah dengan kedua-duanya. Zikir merupakan tugas harian setiap Muslim kerana ia mendatangkan kekuatan dan ketenangan jiwa.

 

Sebagaimana yang disebut di dalam surah An-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud,

Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah ketika kamu berdiri atau duduk , dan ketika kamu berbaring.”

 

Zikir juga merupakan bukti keterikatan seorang hamba kepada Penciptanya. Seorang muslim perlu sentiasa membasahkan lidahnya dengan zikir-zikir yang ma’tsur (diambil daripada Al-Quran dan sunnah) seperti zikir selepas solat, zikir pada waktu pagi dan petang serta zikir-zikir yang dibaca berkaitan dengan peristiwa atau sebab yang tertentu.

 

Allah SWT sangat menyukai orang yang lidahnya sentiasa basah dengan zikir-zikir memuji Allah. Ganjaran pahala juga telah dijanjikan oleh Allah kepada orang yang berzikir. Hal tersebut dijelaskan dengan turunnya surah Al-Ahzab ayat 35, maksudnya:

 

 “Golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar.

 

Menurut Imam al-Nawawi, “Ketahuilah bahawa sesungguhnya zikir tidak hanya tasbih, tahlil, tahmid dan takbir, bahkan zikir ialah setiap amalan ketaatan yang dilakukan kerana Allah SWT”.

 

Dari Rasulullah s.a.w, "Sesiapa yang mengucapkan 'Subahanallah hil'azimi Wabihamdih' maka akan ditanamkan untuknya sepohon pokok tamar di dalam syurga." ( H.R Muslim)

 

Kelebihan Berzikir

 

Antara kelebihan berzikir yang dinyatakan di dalam hadis-hadis yang sahih adalah:

Pertama – majlis zikir merupakan taman syurga di dunia. Daripada Anas bin Malik r.a, beliau meriwayatkan: “ Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Jika kamu melalui taman-taman syurga, maka singgahlah dengan senang. Para sahabat bertanya: Apakah taman-taman syurga itu? Baginda menjawab: halaah-halaqah (kelompok) zikir.” – Hadis hasan riwayat al-Tirmizi.

Kedua- Zikir merupakan benteng daripada gangguan syaitan.

Ketiga – Zikir penghapus dosa dan menyelamatkan daripada azab Allah.

Keempat – Zikir diumpamakan sebagai orang yang hidup.

Kelima – Zikir beroleh pahala.

Keenam- Zikir adalah tanaman syurga.

Ketujuh – Zikir adalah amalan yang paling baik dan paling tinggi darjatnya.