Pengacara, peragawati, pelakon dan kini menjadi pengusaha butik Muslimah. Yat Hamzah terus berkarya dan kali ini mengekspresikan diri melalui fabrik-fabrik berwarna dan bercorak menghasilkan selendang dan tudung dalam usahanya berdakwah melalui fesyen. Ikuti perkongsianya tentang bisnes, dakwah, keluarga dan perancangan masa depanya.

 

Setahun yang lalu selebriti ini melakukan satu penghijrahan yang besar dalam kehidupannya. Ketika itu namanya sedang berada di kemuncak sebagai seorang model dan pelakon. Namun beliau nekad untuk berhijrah dalam usaha menjadi seorang Muslimah. Bukan berubah kerana ikutan tetapi kerana keinsafan yang lahir penuh ikhlas.

 

Dengan penampilan berhijab, nama Haryati Hamzah,33, atau lebih dikenali dengan Yatt Hamzah terus bersinar dan masyarakat terutama peminat menerima baik perubahannya itu. Mereka melahirkan kesyukuran kerana seorang lagi selebriti telah berhijrah dan boleh dijadikan ikon. Hari ini setelah melalui perjalanan penghijrahan itu, Yatt semakin disayangi dan ramai pengikut serta peminat mendoakan agar beliau terus bersinar dengan penampilan sebagai seorang Muslimah. Yatt kini semakin aktif dengan pelbagai aktiviti kemanusiaan terutama penglibatannya dengan badan bukan kerajaan, Aman Palestin dan berkesempatan melawat bumi yang menjadi mangsa regim zionis selama lebih 60 tahun itu beberapa bulan lalu. Melihat sendiri kekejaman rejim itu dan bertemu dengan masyarakatnya yang kebanyakannya punya 1001 cerita apabila kehilangan ahli keluarga tercinta yang syahid menentang Israel yang menceroboh bumi Gaza.

 

Kini Yatt menambah satu lagi cabang kerjaya sebagai seorang usahawan dan telah membuka butik Muslimah atas nama Suci by Yatt Hamzah di Busana, Medan MARA , Kuala Lumpur. Baru dua bulan beroperasi sambutan daripada peminat dan orang ramai sungguh menggalakkan.

 

“Yatt bersyukur kerana ramai yang memberi sokongan dan sentiasa mengikuti perkembangan diri Yatt. Walaupun baru dua bulan, sambutan yang diberikan begitu menggalakkan dan Yatt berterima kasih kepada mereka kerana sentiasa menyokong setiap apa yang dilakukan,” jelas ibu kepada Suci Hanania Malika ini. Palestin beri ilham menyentuh mengenai bisnes tudungnya itu, isteri kepada Abdul Mutalibn Abdul Shukor ini ternyata seorang yang cukup positif dan bersemangat. Kata Yatt, ilham itu datang tanpa diduga dan tidak pernah terfikir untuk membuka butik sendiri kerana sedar ia satu bidang yang sukar dan penuh dengan cabaran.

 

“Ilham itu datang ketika Yatt berada di Gaza. Yatt dapat hadiah bendera Palestin dan ketika di hotel meletakkan di kepala dan tiba-tiba terfikir mengapa tidak buat tudung. Walaupun sebelum itu memang ada orang yang mengajak Yatt buat bisnes tetapi Yatt tolak kerana tidak berani dan yakin.

 

Yatt sedar ketika ini fesyen muslimah satu fenomena tetapi tetap tidak yakin.

“Ada juga peminat yang suka cara Yatt pakai tudung dan mereka sering bertanya bagaimana Yatt lilit tudung tetapi masa itu Yatt tidak berminat dan belum ada keberanian sebab banyak mendengar mengenai susah payahnya bisnes daripada teman-teman yang lain,” jelas Yatt.

 

Pulang dari Palestin, Yatt berbincang dengan suaminya dan menyatakan hasrat mengapa tidak mencuba berniaga tudung. Hasratnya mendapat restu selepas melakukan solat hajat memohon petunjuk kepada Allah SWT. Produk pertamanya adalah selendang Ummu Nidhal sempena dengan nama serikandi zaman Rasulullah SAW yang suami dan kesemua anaknya mati syahid. Semangat perjuangannya itu yang membuat Yatt tertarik dan menjadikannya sebagai edisi istimewa produknya.

 

Berkonsepkan Suci: ‘true beauty is true muslimah’ Yatt menghasilkan rekaan hijab yang lebih lebar dan panjang sesuai dengan trend wanita hari ini yang suka mengenakan selendang dengan pelbagai gaya dan lilitan. Selain selendang, koleksi lainnya adalah tudung ekspres, Syria, tudung ustazah, niqab dan sebagainya. Yatt juga bakal mengeluarkan busana sendiri bagi melengkapkan produk di butiknya.

 

“Yatt amat mementingkan kualiti selain praktikal untuk digayakan. Namun yang paling utama adalah menepati syariat kerana itu adalah tujuan utama menutup aurat,” katanya yang sudah lebih setahun berhijab.

 

Selain itu, dalam lima tahun akan datang Yatt berharap bisnes akan berkembang dan merancang untuk menggabungkan penggiat-penggiat fesyen Muslimah di bawah satu persatuan yang boleh membantu di antara satu sama lain di bawah satu payung.

 

Menarik Bulan Ini

 

Edisi Ogos sememangnya tidak menghampakan anda dengan 140 aura gaya lebaran, lima panduan untuk pekerjaan lebih berkat, jauhi sifat mazmumah untuk mendapatkan bahagia dalam kehidupan dan banyak lagi. Tidak lupa juga beberapa lagi topik istimewa sempena Aidilfitri yang bakal menjelang. Pelbagai resepi istimewa seperti DIY Cake in Jar dan Nasi Ambang. Dapatkannya sekarang!