MENEMUKAN DUA BLOGGER TERKENAL INI MERUPAKAN PILIHAN YANG TEPAT SEMPENA EDISI ISTIMEWA INI. MENGENAKAN BUSANA PENGANTIN LABUH YANG SARAT DAN MENAWAN BUATKAN SERI PENGANTIN JELAS TERPANCAR DI WAJAH MARIA ELENA DAN FATIN SUHANA. MEMILIKI KARAKTER BERBEZA MENJADIKAN SUASANA SESI FOTOGRAFI BEGITU SANTAI DAN DISELANGI GELAK TAWA. MARIA SEORANG YANG PERIANG DAN ‘GILA-GILA’, MANAKALA FATIN AGAK PEMALU NAMUN SEORANG YANG PERAMAH.

Bicara tentang perkahwinan kedua-duanya mengakui sudah berpunya. Bagi Maria, yang sudah pun bergelar tunangan orang, bakal melangsungkan perkahwinan di bulan Disember ini manakala si manis Fatin sudah pun berpunya dan menurutnya, mereka sedang merancang ke arah itu. Cuma kini mereka lebih fokus kepada kerjaya dan belajar, namun mereka merancang dan Allah juga yang menentukannya. Mari kita kenali lebih rapat dengan dua wanita jelita ini berserta ayat-ayat mereka sendiri seperti luahan di dalam blog!

NUR: Secara personalnya, ceritakan tentang diri Fatin daripada segi kerjaya dan sisi peribadi ?
FATIN: Saya baru sahaja menamatkan pengajian dalam ijazah sarjana muda pada Jun lalu. Insya-Allah, pada bulan ini saya akan konvokesyen. Sebelum ini saya praktikal di Petronas Dagangan Berhad, Kuantan. Walaupun di ‘department’ itu hanya saya seorang wanita, saya amat bersyukur kerana semua kakitangan dan boss sangat membantu serta banyak memberi tunjuk ajar mengenai kehidupan apabila bekerja. Secara peribadi, saya merupakan seorang yang pemalu apabila mula-mula berkenalan. Tetapi apabila saya sudah mula selesa dengan seseorang, jangan terkejut jika saya susah untuk berhenti bercakap! Kadang-kadang, rakan rapat melabel saya sebagai seorang yang tidak boleh berhenti bercakap. Daripada segi kerjaya, memandangkan saya baru sahaja menamatkan pelajaran, saya masih lagi berkira-kira sama ada mahu melanjutkan ke peringkat sarjana atau mula bekerja. Tapi Insya-Allah, Oktober ini saya bakal membuka butik online jenama sendiri di mana baju, tudung dan skirt labuh adalah idea dan rekaan saya sendiri. Konsepnya adalah modest Muslimah. Ia adalah sesuatu yang sederhana, elegan dan menutup aurat seperti yang dikehendaki syarak.

NUR: Di kenali seorang blogger, ceritakan pengalaman pahit manis anda dalam bergelar seorang blogger?
FATIN: Pernah juga saya dilabel seperti bukan diri sendiri kerana memberi kata-kata nasihat berunsur dakwah di blog. Bagi saya, blog saya adalah di mana curahan hati saya diekspresikan secara online. Apa-apa yang terlintas di hati dan fi kiran, yang saya rasakan sesuai dan bermanfaat untuk dikongsikan kepada para pembaca. Saya tidak akan teragak-agak untuk menulis mengenainya. Tetapi pengalaman pahit inilah yang banyak mengajar saya menjadi seorang yang lebih berhati-hati dalam menulis sesuatu perkara.

NUR: Bagaimana anda membahagikan masa antara kerjaya, kehidupan peribadi dan blogger?
FATIN: Setakat ini, kerjaya yang saya lakukan adalah berdasarkan minat saya, iaitu rekaan fesyen. Jadi kehidupan peribadi saya kini lebih banyak tertumpu kepada mencari idea baru yang ‘fresh’ yang sesuai untuk wanita Muslimah kini menggayakannya. Saya akui, kehidupan saya semakin sibuk tetapi saya seorang yang sukakan cabaran. Dan inilah cabaran yang saya harus tempuhi untuk berjaya. Dari segi blogging pula, biasanya saya akan menulis blog, paling kurang seminggu sekali atau seminggu dua kali. Masa pula adalah pada lewat malam kerana saya paling banyak berfi kir pada awal pagi dan sebelum tidur. Tetapi disebabkan waktu pagi saya lebih tertumpu kepada kerjakerja di luar, makanya waktu malam adalah waktu paling sesuai untuk saya berblogging.