“Saya tidak ada pengalaman dalam bidang pengacaraan televisyen, jadi bila diminta datang untuk uji bakat, saya mula berkira-kira. Tetapi setelah berbincang dengan emak, dia menyuruh saya pergi sekadar mencuba dan menimba pengalaman uji bakat tersebut, rezeki semuanya di tangan Allah. “Setelah melalui dua uji bakat, produser telefon supaya saya berjumpa dengannya. Soalan mereka cukup mudah iaitu adakah saya suka aktiviti lasak atau tidak? Mereka tidak bertanya soalan mengenai pengalaman penyiaran kerana perkara tersebut boleh belajar dan diberi tunjuk ajar. “Saya juga menyatakan kepada produksi bahawa fokus utama adalah sebagai pelajar tahun akhir Sarjana Psikologi Klinikal dan Kaunseling di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) manakala program Safi yya ini sebagai tugasan sampingan namun mereka kata tiada masalah kerana jadual boleh diubah mengikut masa saya. 
 
“Bermula musim pertama dengan hos bersama Rina Salleh, kini saya meneruskan musim kedua Safiyya yang memberikan pelbagai pengalaman menarik yang saya sendiri tidak jangka seperti aktiviti lasak serta membuat liputan di luar negara,” jelas Liyana yang juga pernah menghiasi drama Impian Sunsilk dan Gadis Semasa pada tahun 2009. Biarpun tidak mempunyai pengalaman dalam penyiaran namun Liyana sentiasa belajar untuk mendapatkan hasil yang terbaik selepas bersiaran. “Kalau diikutkan memang ada rasa gugup di pentas atau setiap kali rakaman memang gementar. Tetapi setelah dapat peluang mengacara, saya berjaya mengatasinya sedikit demi sedikit.” “Malahan setiap kali ke udara, saya akan buat ulang kaji bersama penerbit. Dia akan tegur apa saja kesilapan yang berlaku. Dari situ sedikit demi sedikit saya meningkatkan lagi gaya pengacaraan saya.” “Semua pengalaman yang dilalui memang menarik apatah lagi untuk tahun 2012 ini, kami telah melawat empat buah negara semata-mata untuk menyiapkan program ini. 
 
Maklumlah dulu selalu merancang  bersama kawan. Kalau ada duit kita kumpul dan pergi melancong tetapi ada sahaja halangan yang membuatkan ia tertangguh.” “Namun tawaran ini bagai orang mengantuk disorong bantal dengan kunjungan ke Turki,Kosovo, Rusia dan Jordan merupakan pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Selain penggambaran di tempat menarik, kita boleh melihat perbezaan budaya, agama dan membuka minda kita tentang kekuasaan Allah. “Paling saya suka ialah kunjungan ke Instabul, Turki. Sampai di lapangan terbang sahaja kita sudah boleh melihat keindahan negaranya dengan struktur bina bangunan, kebudayaan dan sejarah Islam seperti empayar Uthmaniyyah yang boleh dipelajari. Seminggu rasanya tidak cukup untuk buat liputan. 
 
“Alhamdulillah, kami berjaya membuat liputan tanpa sebarang masalah besar seperti penggambaran di Red Square Moscow, Rusia yang diwar-warkan tidak  mendapat  pelepasan daripada pihak sana namun bila kami berada disana, tiada halangan atau gangguan. “Selain itu, kami sempat juga singgah ke Dubai dan Frankfurt, Jerman ketika transit untuk ke penerbangan seterusnya. Inilah pengalaman yang tidak boleh dilupakan sampai bila-bila,” jelas Liyana lagi yang sibuk dengan tugasan menyiapkan tesis tahun akhir. 
 
 
Belajar Psikologi
Melihat orangnya yang lemah lembut, tidak hairanlah Liyana Hisham sesuai berada dalam lapangan psikologi yang menemukan dirinya dengan pelbagai kerenah  manusia. Malahan antara bidang psikologi dan pengacara terdapat persamaan yang tidak boleh dinafi kan iaitu kemahiran untuk ‘memikat’ minat orang lain untuk mendengar apa yang diperkatakan. “Dalam psikologi kita belajar mengenai perlakuan manusia, lebih memahami perangai insan, tahu kekurangan diri, ambil tahu mengapa ada orang yang boleh stres dan dalam masa yang sama kita boleh menolong golongan ini untuk meredakan tekanan. Apa yang penting ialah bagaimana
kita berinteraksi dengan golongan ini dan cuba menyelesaikan masalah, bukannya menjaga tepi kain orang.”  
 
“Saya pernah  menjalani latihan amali di Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selama dua semester dan Alhamdulillah ia banyak memberi pengalaman berguna kepada saya dalam mengaplikasikan apa yang saya pelajari selama ini,” jelas anak kedua daripada empat beradik ini. Baru menempuh alam rumah tangga bersama seorang jejaka Kosovo iaitu Beyta Ferizi menemukan pertembungan  dua budaya dalam satu perkahwinan. Kisah cinta yang berlaku kerana kesungguhan Beyta memikat hati Liyana menyatukan mereka berdua dalam ikatan ijab dan qabul. “Permulaannya kami sama belajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan ketika itu diadakan jamuan makanmakan dengan dihadiri semua pelajar. Dari situ Beyta telah meminta nombor telefon saya dari seorang rakan. Dia mula hantar mesej tapi saya tak layan sebab tak kenal sangat siapa.”  
 
“Sehinggalah pada tahun 2010 pada bulan puasa, dia hantar mesej ajak buka puasa, saya bersetuju dengan syarat masing-masing bawa seorang rakan. Kami berbual seperti biasa dan kemudiannya kami berhenti untuk solat maghrib di surau yang kecil. “Dari jauh kedengaran suara orang sedang bersolat, saya suruh kawan tengok siapa, rupa-rupanya Beyta sedang mengimamkan solat dengan bacaan yang sungguh merdu. Dari situ saya mula terpikat kepada orangnya. “Setelah dia menunjukkan kesungguhannya untuk memperisterikan saya, dua bulan selepas itu, saya bawa dia
berjumpa emak dan ayah. 
 
Alhamdulillah mereka menerima dengan gembira kerana ternyata Beyta memiliki akhlak yang baik, sentiasa positif dalam kehidupan dan dia sentiasa mengingatkan saya jangan berputus asa jika ada masalah. Banyakkan berdoa dan solat, Insya-Allah ada jalan dan dipermudahkan walaupun kami masing-masing  berbeza,” jelas Liyana lagi yang sentiasa positifdalam menghadapi kehidupan. 
 
 
Hidup berdua 
Rutin kehidupan sebagai isteri, pelajar dan hos  program memenuhi jadual Liyana malahan  dia juga akui agak penat setelah melalui pelbagai aktiviti sepanjang hari. Namun setelah melalui satu fasa, dia boleh  mengatur semuanya dengan terancang. “Ketika bujang, kehidupan agak santai sedikit sebab banyak urusan rumah emak yang lakukan sebab saya tinggal bersama keluarga.  Begitu juga dengan hujung minggu, jika tiada latihan amali, saya akan buat tesis atau pun membeli belah hilangkan stres.” 
 
“Setelah berkahwin rasa penat sebab banyak benda yang nak buat sekali gus seperti mengemas rumah, basuh baju dan sebagainya. Tetapi Beyta kata jangan paksa diri, bagi masa untuk sesuaikan diri terlebih dahulu. Kemudian barulah saya mengatur dalam masa seminggu hari apa yang basuh baju dan sebagainya.” “Selebihnya saya siapkan tesis  dan juga habiskan masa berjalan-jalan bersama Beyta. Ternyata ia satu kenangan manis kerana kita telah belajar sesuatu yang baru dalam rumah tangga,” kata  Liyana lagi yang tidak merasa perubahan walaupun bergelar selebriti kini. 
 
Pesona nan satu ini ternyata mempunyai impian yang boleh dimanfaatkan oleh ramai orang. Selain cita-citanya menjadi pakar psikologi, Liyana juga memasang impian untuk membuka taska dengan silibus sendiri. “Dalam kehidupan berkeluarga saya impikan perkahwinan berkekalan, memberi didikan bagus pada anak-anak manakala dari sudut kerjaya pula saya mahu buka klinik sendiri jika diizinkan ataupun membuka taska yang mempunyai silibus sendiri. Maklumlah untuk mendidik anak-anak harus dimulakan sejak kecil lagi supaya mereka bijak menangani masalah sosial di masa akan datang,” kata Liyana yang juga bangga dengan perkembangan ramai artis berhijab sekarang dan mengharapkan masing-masing belajar untuk memperbaiki diri bukan sahaja luaran malahan juga dalaman