Pembaca pastinya tertanya siapakah tiga muslimah yang menjadi penghias muka depan kali ini. Ketiga-tiga ibu muda inilah suri, penyokong kuat serta pendamping  setia di sisi susah dan senang tiga Juara Imam Muda musim pertama, kedua dan ketiga. Nur Husna Yusoff adalah isteri kepada Juara Imam Muda musim pertama  2010, Ustaz Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, manakala Fardatul Ulfah Jamali pula adalah isteri kepada Juara Imam Muda musim kedua 2011, Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya dan Nurul Atikah Shahrudin pula adalah isteri kepada Juara Imam Muda ketiga 2012 , Ustaz Abdul Jabbar A. Kahar. Ketiga-tiga ibu muda ini hadir dengan busana yang ringkas dan santun menawan.
 
Memahami kedudukan suami mereka sebagai ikon masyarakat, Husna, Ulfah dan Atiqah akur dengan  tuntutan kerjaya suami yang sentiasa bergelanggang di tengah masyarakat. Doa yang kerap mengiringi dan hati yang tulus mengerti dari pasangan hidup Imam-imam muda ini turut mewarnai kisah kejayaan mereka. Keunggulan peribadi Muslimah penuh santun menjadi pelengkap kebahagiaan rumahtangga. Mereka juga  sebaya usia, 25 tahun. Husna dan Ulfah pula adalah rakan baik dan sekuliah semasa samasama menuntut di Universiti Malaya dahulu. Ketiga-tiga Muslimah yang berkeperibadian penuh keibuan ini punya kisah tersendiri dalam melalui bahtera kehidupan bergelar isteri pendakwah dikenali ramai.
 
Dan benarlah firman Allah, surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu cenderung  dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” NUR mendekati penyeri kehidupan keluarga Juara-juara Imam Muda ini...
 
 
 

“Suami Milik Masyarakat"- HUSNA

 
 
Bertubuh kecil molek dengan raut wajah mempesona, Nur Husna Yusoff menjadikan kata-kata pesanan suami untuk “Sedia berkorban demi masyarakat dan Allah  akan bantu kita dan anak-anak,” sebagai sebahagian daripada prinsip kehidupannya. Menyedari situasi suami sebagai pendakwah terkenal yang menempa nama  bermula  daripada Juara Imam Muda, Husna akur masa suaminya lebih banyak  dihabiskan bersama masyarakat. Sebagai isteri, Husna tumpang bangga melihat  suami tersayang Imam Muda Muhammad Asyraf menjadi tempat rujukan, bimbingan dan luahan rasa mereka yang mencintai dan berminat dengan agama. 
 
Kata-kata nasihat bahawa kemanisan beragama itu akan hanya terasa oleh mereka yang bekerja untuknya, dia setia mendoakan kesejahteraan dan menyokong  perjalanan karier Ustaz Asyraf agar terus diberi kekuatan untuk  berdakwah dan menyampaikan ceramah motivasi. “Saya menemani Ustaz ketika menghadiri u ujibakat program Imam Muda di Astro. Ketika itu kami sendiri tidak mengetahui apa sebenarnya program realiti Imam Muda itu. Masa itu kami baru tiga bulan  berkahwin. Sebagai pengantin baru sebenarnya kami masih lagi dalam suasana saling  mengenali dan memahami pasangan. Kebetulan Ustaz baru sahaja tamat  pengajian ijazah sarjana mudanya dan bertugas sebagai guru sandaran.
 
Sebaik berjaya terpilih sebagai peserta, di sinilah ‘ujiannya’ bermula dalam  kehidupan  berumah tangga.Kami bernikah pada bulan Februari, Mei berikutnya saya  dan Ustaz hidup berasingankerana tuntutan program. Selama tiga bulan saya hanya menerima khabar daripada kakitangan Astro dan kami  juga tidak dapat berhubung sepanjang rakaman dan aktiviti program itu berjalan. Hanya doa sahaja yang mampu mengiringi agar Ustaz berjaya dalam semua tugasan dan cabaran yang diberikan,” kenang Husna yang bersyukur bahawa kesabaran dan pengorbanan mereka suami  isteri membuahkan hasil kejayaan
 
MILIK MASYARAKAT
“Sebagai pendakwah suami adalah milik masyarakat. Jadual kerja ustaz sangat padat dan perlu kerap juga ke luar daerah namun sesibuk mana sekali pun beliau  tetap mempunyai masa untuk isteri dan anak. Saya pula sibuk mengurus bayi di rumah. Sekali sekala apabila Ustaz  berkelapangan dia akan membawa saya dan nak sekali mendengar ceramah. Saya faham setiap kali pulang daripada aktiviti ceramah  dan dakwah, Ustaz, pastinya letih. Sebaik yang mungkin saya cuba untuk  melapangkan mindanya dan memberikan ketenangan buat dirinya setiap kali beliau balik ke rumah,” ujar penyeri kasih juara Imam Muda yang menjadi suri rumah  sepenuh masa ini.
 
Menurutnya lagi Ustaz Asyraf tidak pernah menghalangnya untuk bekerja, namun naluri keibuan  dan kesibukan suami serta ‘posting’ tugas menjadi pendidik di Sarawak menyebabkan Husna dan suami sepakat menangguhkan dulu pembabitan kariernya sebagai pendidik. Mempunyai kelayakan  a akademik,  Ijazah Sarjana Muda dalam Pendidikan Islam Husna mengakui sebagai pemegang biasiswa, apabila tiba masa yang sesuai dia pasti akan bergelar pendidik. Pun  begitu ilmu yang dimiliki akan dimanfaatkan sebaiknya dalam mengasuh ‘buah hatinya’ Muhammad Aisy Raihan yang baru berusia setahun.
 
Berkahwin ketika  berada pada tahun keempat pengajiannya di Universiti Malaya, Husna diperkenalkan dengan Ustaz Asyraf melalui sahabat baiknya Hidayah. Ustaz Asyraf adalah kenalan rapat kepada abang sahabatnya itu.  Kata orang kalau jodoh tidak ke mana, sebaik sahaja tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda, beliau berusaha mengenali keluarga Husna dan akhirnya bersatu jodoh. “Harapan kami semoga kehidupan kami terus bahagia dan diredhai Allah. Kami berdoa agar  rumah tangga sentiasa mendapat barakah dan rahmat dariNya,” akhiri Husna dengan tutur bicara penuh kesantunan.
 
 
 
 

"Anak Penerus Perjuangan Nabi"- ULFAH

 
 
Hadir dengan wajah berseri walau pun dirinya hamil tujuh bulan, Fardatul Ulfah Jamali sudi menerima pelawaan untuk menghiasi kulit NUR. Bekerja sebagai  pendidik di Sekolah Rendah Islam Integrasi (SRII) Al-Faizeen, dia yang lebih mesra dikenali sebagai Ulfah mendirikan rumah tangga dengan Juara Imam Muda Musim Kedua, Mohd Hassan Adli Mac tahun lalu. Kisah pertemuan jodoh mereka pernah disiarkan dalam NUR pada isu Raikan Cinta Mengikut Syariat pada November tahun lalu. Apa yang pasti tiada istilah ‘couple’ buat pasangan yang bakal menjadi ibu bapa pada bulan ini.  
 
Mengakui rasa berdebar dan teruja menimang cahaya mata sulung mereka, pesan mereka pada pasangan muda lain agar menjaga batasan syariat jika mahu keberkatan dan rahmat dalam rumah tangga yang dibina. Baik Ulfah mahu pun suaminya Ustaz Hassan begitu teruja dan berkobar-kobar mahu menjadi ibu bapa dan pendidik yang terbaik buat zuriat pertama mereka. “Saya dan Ustaz kini sedang sibuk mencari nama yang  sesuai buat anak kami yang lahir di bulan ini. Kami sedang memilih dan berbincang mengenai nama-nama yang boleh membawa kebaikan dan barakah buat anak. Walau pun saya pernah buat ‘scanning’ namun saya berserah kepada kekuasaan Allah. Kami bersyukur dengan pemberianNya, tidak kisahlah sama ada  anak lelaki atau perempuan. Yang penting zuriat yang lahir sempurna dan sihat,” cerita Ulfah yang terserlah keceriaan wajah bakal ibu. 
 
Ditanya mengenai amalan tambahan semasa  mengandung, terangnya, “Saya kini giat membaca buku mengenai kehamilan dan kelahiran. Selain itu saya cuba mengaji setiap hari dengan banyakkan membaca surah-surah Lokman, Mariam, Yusuf serta Taubat.” Menyentuh persiapan fizikal buat anak, Ulfah yang bersikap merendah diri hanya membuat persiapan yang sederhana dengan membeli baju dan peralatan yang perlu sahaja untuk anak-anak. Manakala daripada segi pemakanan dia ada juga memakan kurma, buah delima dan pemakanan sunnah yang lain di samping makanan berkhasiat lain yang  terjamin halalan Toyibban. “Kami suami isteri sedang berkobar-kobar hendak menyambut kelahiran anak kami. Kami berazam agar anak kami bakal meneruskan perjuangan Nabi serta menjadi anak yang soleh solehah. 
 
DAKWAH UNTUK KELUARGA
Semasa bergelar siswazah dahulu Ulfah juga aktif dengan kerja-kerja kemasyarakatan dan kebajikan melalui pembabitannya dalam Persatuan Mahasiswa Universiti
Malaya (PMIUM) dan Persatuan Mahasiswa Selangor Universiti Malaya (PERMAS). Dia percaya aktiviti itu boleh dimanfaatkan sebaik mungkin untuk pembentukan jati diri dan menjadi persediaan berhadapan masyarakat apabila menyertai dunia realiti apabila bekerja nanti. Menyentuh tentang kesibukan suaminya sebagai
pendakwah dan aktif dalam perniagaan Ulfah mengakui dia berusaha memahami situasi itu dengan baik dan positif sementelahan pula usia rumah tangga mereka belum pun mencapai setahun.
 
“Walau pun Ustaz aktif berkongsi ilmu dan menyampaikan dakwah di luar rumah, dakwah, peranannya terhadap keluarga tidak pernah dilupakan. Selain menjadi ‘role model’ dalam keluarga Ustaz juga sering berpesan dan menggalakkan saya dan ahli keluarga yang lain untuk mengamalkan
sunnah dalam kehidupan seharian,” ujar Ulfah lagi yang bercita-cita supaya rumah tangga Muslim yang terbina menjadi medan kecil dan permulaan kepada membentuk masyarakat dan negara Islam.
 
 
 

"Hafaz Al-Quran Jadi Kekuatan"- ATIKAH

 
 
Nurul Atikah Shahrudin memiliki pengetahuan yang melahirkan rasa kekaguman penulis. Walau pun pernah meraih kemenangan sebagai Juara dan Naib Juara hafazan Al-Quran ibu muda ini langsung tidak menyuarakannya. Penulis hanya mengetahuinya apabila bertanyakan latar belakang dirinya daripada suaminya Ustaz Hj Abdul Jabbar. Bila ditanya jawapan diberi “Biasa-biasa aja kak.” 
 
 
Sama seperti latar belakang pendidikan suaminya yang memenangi gelaran Juara Imam Muda ketiga pada Ramadan tahun lalu, kedua-dua suami isteri ini lahir  daripada latar belakang pendidikan agama yang kukuh tanpa pernah melalui sekolah kebangsaan. Berusia 25 tahun seperti Husna dan Ulfah, dia nyata mendahului rakan seusianya memulakan alam rumah tangga ketika berusia 21 tahun. Hasil perkongsian hidup dengan Ustaz Abdul  Jabbar, di usia muda ini dia telah pun memiliki dua anak Nur Tasnim dan Abdul Muiz yang masing-masing berusia dua tahun dan 11 bulan. Sesi fotografi pada hari itu juga turut memberi laluan kepada Atikah menyusu badan bayi comelnya  yang turut dibawa bersama.
 
Mula menghafaz al -Quran ketika berusia sembilan tahun, Atikah berjaya menghafaz kesemua 30 juzuk al-Quran di usia 14 tahun. Pencapaian ini sebenarnya turut mendahului Ustaz Abdul Jabar yang mula menghafaz di usia 13 tahun, bagaimana pun Ustaz menjadi Hafi z dalam masa tiga tahun sahaja iaitu di usia 15 tahun. Ditanya mengenai latar belakang pendidikannya, “Saya bersekolah rendah agama dan semasa peringkat menengah saya bersekolah di Maahad dan juga Maahad Tahfiz,” ulas nya ringkas dengan penuh nada merendah diri. 
 
MENGAJAR MENGAJI DAN HAFAZAN
Atikah yang baru menamatkan pengajiannya secara online di MEDIU, Shah Alam, berpendapat walaupun bergelar ibu dan isteri di usia muda, namun dia dan Ustaz
Abdul Jabbar sepakat menganggap berkahwin muda  bukan penghalang cita-cita dalam mengejar impian dalam kehidupan. Malah ia menjadi pencetus kejayaan.
Buktinya Atikah masih mampu memenangi Pertandingan Hafazan al-Quran, Kebangsaan. Walaupun lambat sedikit (kerana bersalin) ketika melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi berbanding dengan rakan lain,namun statusnya sebagai ibu tetap membara minatnya untuk terus belajar dan mengajar. Begitu juga dengan suaminya yang menempa kejayaan sebagai Juara Imam Muda ketiga setelah bergelar bapa.
 
Niat awalnya untuk menemani graduan di kolej tempatnya mengajar berakhir dengan beliau sendiri turut menyertai bersama-sama ‘anak didiknya’ pada hari ujibakat. Nyata kelayakan dan kebolehannya turut menarik minat Penerbit yang turut mempelawa dirinya .Istimewanya, wanita yang memiliki kelebihan pengetahuan dan kemahiran dalam pendidikan al-Quran ini turut meluangkan  masa membuka kelas al-Quran dan Hafazan untuk kanak-kanak sekolah rendah di rumah mereka di Kuala Kangsar, Perak. “Dengan galakan suami, saya mahu berbakti kepada kesejahteraan umat dengan memanfaatkan ilmu yang diberi Tuhan ini kepada kanak-kanak lain dan sudah semestinya kepada anak-anak saya sendiri,” Azam Atikah yang mahu mendidik anak-anak menjadi generasi al-Quran.