Praktikalnya, tudung atau layah sedondon atau serona dengan baju. Namun ia tetap nampak serasi dengan gandingan warna lain yang seirama seperti platinum  dengan ungu lembut. Selain itu, fabrik yang sesuai paling penting agar ketika dipakai ia nampak selesa dan terletak. Bagi bakal ratu sehari, panduan di bawah boleh  dijadikan panduan sebelum membuat pilihan gaya tudung dan layah yang sesuai untuk anda:
 
  1. Paling utama sebagai pengantin Muslimah, pemakaian tudung yang sempurna mestilah labuh menutupi dada, tidak jarang, longgar dan tidak menampakkan bentuk telinga, tersembunyi dan menyelaputi bahu.
  2. Bagi pasangan yang akan melangsungkan pertunangan atau perkahwinan, asas pemakaian tudung ialah anak tudung yang direka mengikut keselesaan dan  kesesuaian si pemakainya.
  3. Anak tudung mempunyai ‘awning’ antara yang sentiasa menjadi pilihan kerana anak tudung ini senang dibentuk dan boleh menutup kekurangan bentuk muka  bulat dan bersegi.
  4. Selain itu, anak tudung manik berikat belakang tanpa ‘’awning’’ pula sesuai dipakai oleh anda yang mempunyai bentuk muka yang panjang dan bujur. Bagi pemilihan fabrik anak tudung seperti shantong, sutera thai, lace, span, dan jersi amat sesuai. 
  5. Manakala warna yang sesuai pula, digunakan untuk majlis bertunang ialah warna biru, jingga, hijau, ungu, merah jambu, dan kelabu. 
  6. Pilihan terbaik untuk tudung ialah fabrik lembut yang tidak berkilat. Ini kerana wanita bertudung harus sentiasa berpegang kepada prinsip berpakaian sopan,  tidak terlalu menonjol. Menyerlah sedikit daripada orang lain tidak salah agar tetamu tahu anda pengantin. 
  7. Elakkan memilih kain satin kerana ia berkilat dan panas, membuatkan anda kurang selesa untuk memakainya dalam tempoh yang panjang.
  8. Fabrik paling sesuai untuk tudung adalah sifon,georgette, cita, sari dan lace. Ia kurang berkilat dan lembut.
  9. Warna yang lembut dan tidak menjolok mata seperti merah samar, biru lembut, krim, kelabu atau putih paling sesuai.
  10. Elakkan memakai baju pengantin yang warnanya menjolok mata seperti hijau serindit, merah saga dan kuning diraja.
  11. Paling praktikal, baju dan tudung sedondon kerana ia memperlihatkan keanggunan dan kelembutan. 
  12. Untuk majlis akad nikah, warna lembut seperti krim atau putih adalah pilihan terbaik. 
  13. Sekiranya layah yang digayakan sarat dengan hiasan jemeki atau batu permata, mini telekung atau tudung yang dipakai mestilah ringkas, polos dan tidak perlu ada hiasan. 
  14. Hiasan di layah juga seharusnya tidak terlalu sarat kerana ia akan membuatkan bahagian kepala dan wajah anda serabut. Ingatlah ‘less is more’.
  15. Sekiranya ingin memakai tiara, elakkan menggayakan tiara kecil atau separuh kerana ia akan kelihatan janggal untuk pengantin bertudung. 
  16. Jika anda ingin menghias layah dengan renda pastikan memilih renda yang berbunga kecil. Elakkan memilih renda berbunga besar kerana ia membuatkan  bentuk wajah anda tidak seimbang.
  17. Pemilihan batu permata atau jemeki juga perlu diambil kira. Elakkan memilih batu permata atau jemeki terlalu sarat. Hiasan yang sarat akan membuatkan diri anda tidak ubah seperti penari gelek. 
  18. Sekiranya majlis pernikahan diadakan di masjid, elakkan fesyen yang keterlaluan, bagi menghormati tempat dan juga majlis yang suci itu, eloklah jika  tudung yang dikenakan, tampak sopan dan ayu. Selain itu, pemilihan layah pula mestilah lebih panjang dan menutup bahagian pinggul. 
  19. Warna-warna pilihan majlis pernikahan adalah seperti putih mutiara, biru ais, krim, kelabu lembut, biru tirus, ungu kundang lembut dan merah jambu. Majlis  pertunangan dan persandingan tidak banyak beza dari segi cara pemakaian tudung. Ia bergantung kepada pasangan untuk kelihatan anggun dan ayu  sebagai pengantin Muslimah.
  20. Gaya tudung juga mengikut kesesuaian bentuk muka dan warna kulit pengantin. Warna-warna pilihan untuk majlis persandingan ialah kelabu, biru gelap, coklat, hijau lumut, hijau pucuk pisang, ungu nila (lavender), merah dan hitam serta merah dan putih.